Mangsa syukur masalah dapat perhatian MB

Oh! Krai Utara

Share KAMPUNG BHARU - Sepuluh keluarga dari Kampung Tok Sudin dekat sini bersyukur kerana masalah banjir yang sering melanda kampung mereka akhirnya mendapat perhatian Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mat Judin Samat berkata, masalah yang dihadapi penduduk Tok Sudin akan dibincangkan termasuk dakwaan air terperangkap akibat pembinaan jalan raya. 

Katanya, penduduk yang menjadi mangsa banjir perlu bersabar dengan bencana yang menimpa mereka kerana masalah itu mula mendapat perhatian pelbagai pihak. 

“Kami sedia maklum dengan masalah yang dihadapi dan percaya ianya dapat diselesaikan dengan kerjasama beberapa agensi dan jabatan terlibat,” katanya yang mengiringi Nik Aziz menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit. 

Mangsa, Mohamad Daud, 55, berkata, dia bersyukur kerana masalah yang dihadapi penduduk Tok Sudin sampai kepada pengetahuan menteri besar. 

Menurutnya, penduduk terbabit dua kali dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil apabila kampung itu ditenggelami air sehingga lebih dua meter. 

“Kami masih berada dalam kebimbangan kerana musim tengkujuh belum berakhir, jika sekali lagi kami berpindah, ianya bererti pengalaman terburuk dalam sejarah kampung kami,” katanya. 

Sementara itu Penghulu Mukim Pengkalan, Zulkifli Idris berkata, beliau yang bertanggungjawab memindahkan penduduk di kawasan terbabit dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia berharap, kemudahan disediakan bagi memudahkan pemantauan banjir dilakukan. 

Katanya, beliau turut menghadapi masalah kerana tidak dapat memasuki kampung tersebut ketika banjir melanda baru-baru ini. 

“Masalah pemantauan akan lebih lancar sekiranya kami dibekalkan sebuah bot seperti yang disarankan ADUN Limbongan, Zainuddin Awang Hamat. 

“Kami hanya mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak mukim dan tidak mahu mereka terus dihimpit masalah yang sama setiap tahun,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...