Fergie ' Si Hodoh'
Oh! Krai Utara
FERGIE, penyanyi lagu 'Glamorous', kecewa dengan pengkritik yang melabelkannya 'si hodoh' suatu ketika dulu.
Penyanyi The Black Eyed Peas berusia 35 tahun itu mengecam mereka yang mengkritik wajahnya.
Media melaporkan Fergie menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai banyak masa untuk menjaga kecantikan wajahnya.
"Hati saya pernah dilukai apabila mereka berkata betapa hodohnya saya.
"Tengok, apabila anda perlu mengendalikan banyak hal dalam hidup anda, kadang-kala anda mungkin tidak kelihatan sempurna," katanya. -mstar
Keajaiban Raja Ular Kelantan, 600 Kali Digigit Ular Hanya Tiga Kali Ke Hospita
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI: Setiap hari, anak muda ini seperti tidak menang tangan menjawab panggilan telefon dari serata penduduk bukan sahaja dari Kelantan malahan penduduk di negeri-negeri luar.
Mencecah usia 24 tahun, anak jati Kelantan yang belajar setakat tingkatan tiga dan menetap di pedalaman Kelantan ini, mungkin kelihatan biasa-biasa sahaja tanpa sebarang keistimewaan tetapi kesibukan beliau saban hari seringkali mengundang tanda tanya.
Berperwatakan agak pendiam, siapa sahaja pasti tidak menyangka, Mohd Hamdan Mahadi, 24, begitu hebat kerana bukan sahaja memiliki teman-teman manusia tetapi juga 'bersahabat baik' dengan haiwan yang sangat digeruni manusia.
Digelar sebagai Raja Ular Kelantan, Mohd Hamdan berkata, kegerunan terhadap ular, haiwan reptilia itu mungkin tidak dapat dipisahkan dari benak setiap manusia.
"Ular seringkali disifatkan sebagai musuh kerana sifatnya yang ganas dan boleh mengundang maut kepada manusia menyebabkan sesiapa pun takut untuk melihat apatah lagi memegangnya.
"Tetapi bagi saya, ular juga seperti haiwan lain, jika kena caranya, tidak mustahil ular mampu menjadi sahabat kepada manusia," katanya kepada Bernama.
TANGKAP ULAR SEAWAL USIA LIMA TAHUN
Anak jati Kampung Guchil 1, Kuala Krai ini berkata, minatnya terhadap ular bermula sejak kecil apabila beliau tidak pernah merasa cuak dengan kehadiran haiwan terbabit.
Bahkan, seawal usia lima tahun, jika terlihat kelibat haiwan berkenaan, beliau dengan selamba akan mengejar dan berusaha menangkap haiwan itu.
"Saya pun tidak perasan tentang keistimewaan itu kerana bagi saya ianya bukan satu keistimewaan sebenarnya, mungkin kerana minat dan keberanian saya terhadap ular menyebabkan saya tidak takut terhadapnya.
"Minat pada ular datang sendiri dan tidak pernah dipupuk keluarga atau saudara mara kerana tiada seorang pun ahli keluarga saya sama ada ayah atau datuk yang meminati ular seperti saya," katanya.
Beliau berkata, menetap di kawasan perkampungan, kelibat haiwan terbabit bukan lagi satu perkara asing baginya dan sekiranya penduduk kampung yang ketakutan melihat haiwan terbabit berada di dalam rumah, beliaulah yang akan segera menawarkan diri untuk menangkap ular terbabit.
"Mula-mula menawarkan diri itu takut-takut juga, tetapi sebab minat mahu mencuba saya beranikan diri dan bila dapat tangkap, tidaklah susah pula rasanya. Sejak itu bila ada sahaja ditemui ular di rumah penduduk kampung atau di mana sahaja, mereka akan memanggil saya untuk menangkapnya," katanya.
Beliau berkata, ular pertama yang ditangkapnya adalah ular tedung sepanjang 22 kaki di kampung berhampiran.
HAMDAN SI RAJA ULAR
Anak sulung dari sembilan adik beradik itu berkata, sejak itulah beliau mula dikenali dan digelar sebagai 'Raja Ular' oleh penduduk di kampungnya dan kampung berhampiran.
Meskipun mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya, Mohd Hamdan berkata, ia tidak mampu mematahkan semangat untuk terus menangkap ular.
"Biasalah ibu bapa, mereka bimbang jika saya tercedera ketika menangkap ular kerana ular adalah haiwan yang berbahaya tetapi kerana terlalu suka dengan 'kerja' yang saya lakukan itu, mereka akhirnya terpaksa menerima dan sentiasa menasihati saya supaya menjaga diri," katanya.
Mohd Hamdan berkata, sebaik menamatkan persekolahan di tingkatan tiga, beliau semakin serius melakukan kerja menangkap ular di serata tempat.
MINAT MENJADI PEKERJAAN
Bermula dari minat, Mohd Hamdan kini sepenuh masa melakukan pekerjaan menangkap ular.
Beliau berkata, bagaikan memiliki rangkaian perniagaan di serata tempat, begitulah juga dirinya apabila setiap hari sibuk menjelajah ke serata negeri Kelantan untuk memenuhi permintaan daripada orang ramai yang memerlukan bantuan untuk menangkap haiwan terbabit.
Bahkan beliau kini bertambah sibuk apabila bantuan menangkap ular bukan sahaja diperlukan di negeri kelahirannya malahan negeri-negeri luar.
"Saya seringkali menerima panggilan daripada penduduk di beberapa negeri seperti Terengganu, Kedah, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Perak semata-mata untuk menangkap ular dan saya tidak menolaknya, jika ada kelapangan, saya akan pergi untuk membantu mereka," katanya.
Lebih mengagumkan, anak muda ini langsung tidak mengejar kemewahan, meskipun berdepan risiko besar untuk melakukan pekerjaan terbabit, beliau langsung tidak meminta bayaran upah sebaliknya hanya mengenakan bayaran kos perjalanan ke tempat yang dituju.
"Kalau dalam Kelantan, biasanya saya caj minyak motor sahaja, saya akan pergi ke mana-mana daerah pun tetapi sekiranya ke negeri luar, saya akan caj RM50 sehari untuk menampung tambang perjalanan dan makan minum saya," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, sikap prihatin dan pemurah rakyat di negara ini menyebabkan beliau sentiasa diberi upah sebagai menghargai kesusahan dan risiko yang ditanggung beliau untuk menangkap ular.
LEBIH 600 KALI DIPATUK ULAR
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula haiwan bahaya, Mohd Hamdan berkata, sebaik-baik 'sahabat' haiwannya itu, beliau tidak terlepas daripada dipatuk ular meskipun ramai yang beranggapan orang yang mahir tidak sesekali akan dipatuk.
Sepanjang pembabitan beliau sebagai penangkap ular, sudah lebih 600 kali beliau dipatuk haiwan terbabit.
"Dipatuk itu sudah satu kemestian, minggu ini pun sudah tiga kali saya dipatuk ular, kalau tidak pernah dipatuk mesti saya sudah mengamalkan ilmu tertentu, tetapi mujurlah sistem ketahanan badan saya seperti sudah sebati dengan bisa ular menyebabkan saya tidak mengalami kecederaan yang teruk, " katanya sambil menunjukkan satu daripada jari telunjuknya yang sehingga kini masih bertanda parut patukan ular.
Ular yang paling berbisa pernah mematuknya ialah ular tedung yang menyebabkan beliau dimasukkan ke wad dan ditahan selama beberapa hari.
Bagaimanapun, sepanjang lebih 600 kali beliau dipatuk ular hanya tiga kali dimasukkan ke hospital manakala selebihnya hanya membuat rawatan sendiri.
AIR PUTIH DAN BAYGON
Alah bisa tegal biasa, Mohd Hamdan berkata, tiada sebarang petua yang diamalkan sekiranya dipatuk ular sebaliknya hanya melakukan rawatan dengan memastikan beliau segera minum air putih sebanyak mungkin selepas dipatuk haiwan terbabit.
Beliau berkata, bisa ular adalah panas dan boleh menyerang jantung manusia menyebabkan jantung manusia menjadi panas dan air putih dapat membantu melambatkan proses penyerapan bisa terbabit.
"Apapun ianya hanya merupakan langkah awal dan segera jika dipatuk ular, selepas itu perlu segera ke hospital untuk dapatkan rawatan," katanya.
Bagaimanapun lebih menarik, Mohd Hamdan berkata, penyembur serangga berjenama Baygon sebenarnya mampu membunuh ular.
Beliau berkata, Baygon merupakan alatan penting yang diperlukannya untuk menangkap ular terutama ular yang berada dalam lubang.
"Banyak kali jugalah saya berdepan dengan kes ular berada dalam lubang dan tidak mahu keluar, masa inilah diperlukan Baygon. Baygon itu akan disembur ke dalam lubang terbabit dan ular akan dengan mudahnya keluar kerana lemas dengan semburan itu.
"Tetapi jika dalam tempoh 15 hingga 20 minit ular itu tidak keluar dari lubang, berkemungkinan besar ia mati dalam lubang itu, apa yang penting gunakan penyembur Baygon yang khas untuk lipas, bukannya nyamuk, ia pasti berkesan untuk ular," katanya sambil tersenyum.
ULAR JADI HAIWAN PELIHARAAN
Mohd Hamdan yang memiliki lesen daripada Jabatan Perhilitan berkata, kebanyakan ular yang ditangkapnya bukan sahaja diberi kepada jabatan berkaitan atau dilepaskan di hutan simpan sebaliknya beliau akan memelihara ular itu sebagai haiwan peliharaan.
Beliau yang kini memiliki lapan ekor ular jenis tedung, sawa dan senduk itu berkata, sekiranya ada di antara ular yang ditangkapnya itu agak menarik jenis dan bentuknya, beliau akan memelihara ular itu untuk digunakan ketika persembahan ular yang diadakannya di Tanah Merah pada setiap hari Sabtu.
"Kalau ular yang ditangkap itu biasa-biasa sahaja dan saya tidak berhasrat untuk memeliharanya, kebiasaannya saya akan simpan ular selama seminggu hingga dua minggu selepas ditangkap sebelum ia dilepaskan semula kerana tidak mahu ular itu kembali ke tempat ketika ia ditangkap," katanya.
Sekiranya tidak dilepaskan semula dan ada di antara rakan-rakannya yang menjual ubat dan berhasrat untuk menggunakan haiwan terbabit untuk tujuan perubatan, beliau akan memberikannya kepada rakan-rakan.
Bukan itu sahaja, kini, selain sibuk memenuhi permintaan orang ramai yang memerlukan bantuan menangkap ular dari serata negeri, Mohd Hamdan berkata, beliau juga seringkali membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat di beberapa daerah di Kelantan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menjalankan tugas menangkap ular.
Menurutnya, bagi penduduk Kelantan yang tidak mengenalinya, mereka akan menghubungi balai Bomba atau JPA untuk meminta bantuan menangkap ular manakala pihak jabatan terbabit akan menghubunginya untuk membantu pihaknya melakukan tugas terbabit.
BAKAL BUKA TAMAN ULAR
Meskipun adakalanya dipandang serong sesetengah masyarakat yang menganggap pekerjaan menangkap ular yang dilakukannya hanya membuang masa kerana tidak memberi keuntungan sebagaimana pekerjaan lain, Mohd Hamdan berkata, kata-kata itu hanya dianggap kata-kata kosong yang tidak mampu menjejaskan minatnya terhadap pekerjaan yang dilakukan.
Beliau berkata, apa yang paling penting adalah kepuasan membantu orang ramai yang memerlukan bantuan selain secara tidak langsung memenuhi minatnya terhadap ular.
Bahkan, kata anak muda ini, masih banyak perancangan di benaknya untuk terus memastikan beliau sentiasa bertemu dan bekerja bersama 'sahabat' kesayangannya itu setiap hari.
Justeru itu katanya, dalam masa terdekat ini beliau dijangka akan membuka sebuah taman ular di daerah Kuala Krai.
"Insyaallah... sebelum penghujung tahun ini saya akan buka sebuah taman ular dengan berbekalkan modal dari seorang individu berbangsa Cina yang sangat minat terhadap haiwan itu dan mahu saya membuka sebuah taman khas untuk haiwan terbabit.
"Jika taman itu direalisasi, ianya akan dijadikan tempat saya menempatkan ular peliharaan saya, mengadakan pameran ular dan pertunjukan ular setiap hari yang sebelum ini saya adakan di daerah Tanah Merah," katanya.
SEDIA DIHUBUNGI BILA-BILA MASA
Selain itu anak muda yang masih bujang ini berkata, beliau bersedia dihubungi bila-bila masa sahaja untuk membantu orang ramai yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, orang ramai yang memerlukan bantuan menangkap ular boleh menghubungi beliau di talian 012-9619443.
"Sekiranya ada kelapangan saya akan berusaha membantu orang ramai tidak kira di mana pun anda berada, Raja Ular akan tiba seberapa segera," katanya sambil tersenyum -mStar
RM1 juta untuk pelajar cemerlang
Oh! Krai Utara
KOTA BHARU - Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM800,000 hingga RM1 juta bagi memberi sumbangan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, inisiatif berkenaan akan diusahakan oleh pihak Kerajaan Negeri terutama bagi pelajar cemerlang bagi memberikan suntikan semangat kepada mereka.
“Ia sebagai hadiah daripada Kerajaan Negeri ini kepada anak-anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik terutama mendapat 9A ke atas dalam SPM, 4 Prinsipal A ke atas dalam STPM dan sembilan markah tertinggi (mumtaz) ke atas bagi STAM.
“Agihan sumbangan ini berdasarkan kepada peruntukan dalam mesyuarat exco apabila nama mereka yang terpilih terutama rakyat Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Pelancaran Maahad Muhammadi (Lelaki) Gemilang dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2010, di sekolah itu, di sini, semalam.
Dalam majlis berkenaan, 52 pelajar terbaik SPM dengan pencapaian paling tinggi 15A pada tahun lalu, 23 memperoleh pangkat mumtaz STAM, 35 pelajar menerima anugerah pelajar cemerlang (10A) dalam Penilaian Menengah Rendah Ugama (PMRU), 24 pelajar terbaik PMR, lapan pelajar terbaik (10A) SMU.
Ahmad berkata, mengikut mesyuarat Exco, peluang menerima anugerah atau hadiah berkenaan turut diberikan kepada rakyat Kelantan di luar negeri yang belajar di sana.
Menurutnya, penganugerahan berkenaan diadakan setiap tahun dan tahun ini merupakan tahun keempat diberikan kepada pelajar cemerlang berkenaan.
“Penganugerahan hadiah ini akan disampaikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila beliau pulang mengerjakan umrah di Makkah nanti,” katanya.
Katanya, penyampaian hadiah tersebut diharap memberi semangat kepada pelajar yang berjaya dan memberi perangsang kepada calon peperiksaan akan datang khu-susnya di sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Penerimaan baik masyarakat tambah semangat
Oh! Krai Utara
KUALA KRAI - Hampir setahun menduduki kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan itu pada Julai tahun lalu, Mohd Fauzi Abdullah bersyukur atas penerimaan baik yang ditunjukkan masyarakat setempat.
Beliau berkata, antara yang diterima baik rakyat ialah corak kepimpinan dibawanya seperti selalu turun padang termasuk minum petang di kedai kopi bagi menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.
Menurutnya, terharu dengan sambutan diberikan rakyat, beliau berazam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tanpa mengira kaum atau fahaman politik.
“Antara masalah rakyat yang akan diberikan lebih perhatian pada tahun ini, adalah masalah jalan kampung dan jalan pertanian yang masih belum sempurna di sekitar Manek Urai,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Markas Maj-lis Tindakan DUN (MTD) Manek Urai, dekat sini, semalam.
Mohd Fauzi berkata, aktiviti kemasyarakatan lain termasuk program penyampaian sumbangan daripada pelbagai skim bantuan di bawah Kerajaan Negeri seperti Takaful Kifalah (warga emas), armalah (ibu tunggal), anak yatim dan tabung pesakit kronik.
“Program penyampaian skim bantuan ini adalah aktiviti berterusan yang diadakan dari semasa ke semasa,” katanya yang menewaskan calon Barisan Nasional yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, 14 Julai tahun lalu.
Mengulas majlis itu, Mohd Fauzi berkata, program ramah mesra bertujuan mengeratkan lagi hubungannya dan barisan kepimpinan MTD Manek Urai dengan rakyat itu adalah yang pertama pada tahun ini dan kali kedua sejak dia menjadi wakil rakyat.
Katanya, seperti majlis kali pertama yang diadakan sempena jamuan hari raya Aidilfitri lalu, beliau gembira kerana program kali ini juga mendapat sambutan baik penduduk apabila dihadiri kira-kira 1,000 tetamu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Turut kelihatan hadir pada majlis itu ADUN Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria dan Setiausaha Kerja Setiausaha Kerja Pejabat Ahli Parlimen Kuala Krai, Zamri Jusoh.
KedahLanie..!!: Kaki katak dalam mi goreng
Oh! Krai Utara
KUALA LUMPUR – Sanggupkah anda menikmati hidangan mi goreng berlaukkan kaki katak seperti insiden yang menimpa seorang pelajar lelaki ketika dia sedang menjamu selera bersama ahli keluarganya di sebuah kopitiam di Bukit Tinggi, Klang baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam pada 11 Mac lalu, Aliff Shanaz, 23, terkejut apabila mendapati terdapat kaki katak dalam menu mi goreng yang dinikmatinya selepas tiga kali dia menyuap hidangan itu.
Sejurus selepas kejadian itu, dia terus mengadu kepada juruwang di kopitiam berkenaan yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pengurus kedai makan tersebut. read more



.jpg)

