PKR Yakin Pertahan Parlimen Hulu Selangor
Oh! Krai Utara
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor yang mereka menangi pada pilihan raya umum 2008 lalu.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, parti itu akan tetap mempertahankan penguasaan mereka di kawasan berkenaan pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Kekosongan ini berlaku dalam negeri Selangor yang sememangnya dikuasai oleh Pakatan Rakyat... insyaAllah kita tak ada masalah untuk pertahankan kerusi berkenaan," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras semalam.
Adik Allahyarham, Md. Hambali mengesahkan Zainal Abidin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.27 malam.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Siti Zaharah Mohd. Zin dan empat orang anak.
Selain itu Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, PKR masih belum menetapkan tarikh khas untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan.
"Kita belum tentukan apa-apa lagi, Allahyarham baru sahaja meninggal dunia semalam, insyaAllah kita akan mengadakan perbincangan bila tiba masa yang sesuai nanti.
"Tambahan pula bagi PKR dan Pakatan Rakyat, perkara berkaitan pilihan raya adalah isu berterusan dan bukannya mengikut musim, jadi perkara sebegini sememangnya menjadi perhatian kita setiap masa," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya sudah mempunyai individu yang sesuai untuk diletakkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu nanti, beliau berkata: "Dalam negeri Selangor kita memang ada ramai calon yang sesuai.
"Cuma sekarang kita perlu pilih yang terbaik dikalangan calon yang ramai itu."
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.
Allahyarham yang menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.mstar
Pilihan Raya Hulu Selangor: SPR Mesyuarat 2 April
Oh! Krai Utara
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 2 April ini bagi menentukan tarikh pilihan raya bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor yang kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad malam tadi.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan bersama-sama ahli lembaga pengarah suruhanjaya itu.
"Kita akan adakan mesyuarat tersebut pada pukul 10 pagi di pejabat SPR Jumaat depan.
"Saya menjangkakakan kita akan menerima notis mengenai kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor akan diterima Isnin ini,” katanya kepada mStar Online hari ini.
Abdul Aziz berkata mengikut peruntukan undang-undang SPR, selepas notis kekosongan diterima, suruhanjaya itu perlu bermesyuarat dalam tempoh 10 hari untuk menentukan tarikh pilihan raya.
"Mengikut peraturan, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah speaker Dewan Rakyat memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi berkenaan,” katanya.
Zainal Abidin, 71, meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, akibat barah otak, kira-kira jam 9.27 malam tadi.
Allahyarham merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.
Pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008, Zainal Abidin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN daripada MIC, Datuk G. Palanivel dengan majoriti 198 undi.
Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor selamat dikebumikan.
Oh! Krai Utara
HULU LANGAT 26 Mac - Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Hulu Langat pukul 11 pagi tadi.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalib Ibrahim serta pimpinan KEADILAN pusat dan negeri mengiringi jenazah dari rumah Allahyarham di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Hulu Langat untuk disembahyangkan di Masjid Jamek Batu 10 pada pukul 10.30 pagi.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir termasuk Ketua Umum KEADILAN Datuk Sri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Baharin Abas, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar serta pimpinan KEADILAN.
Ratusan ahli keluarga, kenalan dan penyokong berhimpun di rumah Dr Zainal sejak semalam untuk membaca Yassin dan memberi penghormatan serta takziah kepada keluarga Allahyarham.
Beliau meninggalkan seorang isteri, Datin Siti Zaharah Md Zain serta empat orang anak. Dr Zainal yang memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-12 meninggal dunia pukul 9.27 semalam dikediaman beliau disisi keluarga.
Beliau menyertai KEADILAN pada tahun 2005 dan pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999 ketika bersama Umno. Dr Zainal pernah menerajui KEADILAN Selangor sebagai pengerusi sebelum diambil alih oleh Khalid.
1Malaysia akan saksi Najib si Juara Rakyat bertarung di Hulu Selangor! Hero kah dia
Oh! Krai Utara
Bn akhirnya terpaksa berdepan pilihanraya kecil juga
Bn hanya gah di media arus perdana, buktinya banyak pilihanraya kecil yang Bn harus hadapi tetapi dielakkan sebaik mungkin. Contohnya Pilihanraya di Perak, Pilihanraya Kecil Kota Seputih, Kedah dan terbaru Pilihanraya Titi Tinggi di Perlis. Namun kali ini tidak dapat dielakkan ekoran Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (gambar) meninggal dunia jam 9.30 malam ini selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.
Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.
Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari.
Bn akan hantar calon Umno
Berdasarkan logik akal permainan sentimen Ketuanan Melayu sudah hampir pasti kerusi Hulu Selangor ini akan ditandingi oleh Umno. Itupun jika Umno tidak hipokrit dengan sentimen ketuanan Melayunya. Ini kerana mana mungkin atas nama ketuanan Melayu Umno kerusi tersebut yang majoriti pecahan pengundinya Melayu diserahkan oleh 'geng ketuanan Melayu' kepada kaum lain. Pecahan peratusan pengundi Hulu Selangor ialah 53.9 peratus Melayu, 26.7 peratus Cina, 19 peratus India dan 0.4 peratus lain-lain kaum. kalau ikut pecahan kaum jika tidak meletakkan Umno maka Mca (parti perkauman Cina) lah yang paling layak bertanding.
Meletakan calon bagi Bn amat rumit kerana ini akan membuktikan 'belang hipokrit' sebenar Umno Bn. Nak jaga undi India di seluruh negara maka kena letak calon India tetapi berdepan dengan kekalahan dan maka terbukti juga perjuangan ketuanan Melayu hanya retorik kerana menghantar calon bukan Melayu di kerusi majoriti Melayu pengundinya. Nak hantar calon Melayu sudah tentu Bn akan lebih jauh dari orang bukan Melayu dan protes parti dalam Bn pasti lebih kuat kerana Umno akan dikatakan merampas kerusi komponen lain.
Begitulah konflik bakal berlaku kerana mereka bermain dalam trek perkauman sempit. Namun bagi Pakatan Rakyat tidak susah meletakkan calon ini kerana kerusi itu bukan milik kuota mana - mana kaum tetapi calon bakal dipilih berdasarkan 'kopitensi' individu memberikan khidmat kepada rakyat dan faktor kemenangan yang wujud.
Siapa calon Bn paling layak ? Jawapanya ialah Ezam Mohamad Nor tokoh sabungan Umno untuk berdepan dengan Anwar. Ini mungkin peluang terbaik Umno untuk menyaksikan bahawa jutaan ringgit yang kerajaan bazirkan untuk memburukkan Anwar termasuk memberi upah kepada Ezam Mohamad Nor ada hasilnya.
Krisis DiRaja Kelantan: Pegawai Kanan Istana Bergelar Datuk Ditahan Polis
Oh! Krai Utara
KOTA BAHARU: Polis menahan seorang pegawai kanan Istana yang bergelar datuk di kediamannya, di Taman Sri Aman, Kubang Kerian di sini, hari ini dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Pemangku Raja.
Sumber polis berkata lelaki itu ditahan pada 9 malam dan disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.
"Kita telah menahannya pada malam ini untuk mengambil keterangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Laporan awal hari ini menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra didakwa melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.
Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Tengku Abdul Aziz Hamzah dan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota di sini hari ini.
Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, berita itu disambut tenang oleh Tengku Muhammad Faris Petra apabila tiba dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Ismail, di sini. - BERNAMA





