Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor Tak Lama Lagi
Oh! Krai Utara
PETALING JAYA: Kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad malam tadi membuka laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil bagi edisi ke-10 selepas pilihan raya umum 2008.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bagaimanapun berkata, pihaknya perlu menunggu notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan kerusi berkenaan.
"Mengikut prosedurnya kita perlu mendapatkan notis kekosongan daripada Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu.
"Selepas notis dikemukakan, SPR akan bermesyuarat sebelum mengumumkan kekosongan kerusi berkenaan secara rasmi," katanya kepada mStar Online di sini malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, akibat barah otak, kira-kira 9.27 malam ini, demikian menurut adiknya Md. Hambali Ahmad.
Zainal Abidin, 71, merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa Allahyarham mengambil cuti sakit.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata pilihan raya kecil akan diadakan kerana kekosongan berkenaan berlaku dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pertama kali Dewan Rakyat bersidang.
"Bagi kes kekosongan ini, pilihan raya kecil akan diadakan bagi memilih wakil rakyat baru kerana ia masih berada dalam tempoh tiga tahun selepas Dewan Rakyat bersidang buat pertama kali... iaitu selepas pilihan raya umum yang lalu," katanya.
"Melainkan jika tempohnya melebihi tiga tahun daripada tarikh awal Dewan Rakyat bersidang... pilihan raya kecil tak perlu diadakan sehinggalah Parlimen dibubarkan," katanya.
Ahli Parlimen Hulu Selangor Meninggal Dunia
Oh! Krai Utara
KAJANG: Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, akibat barah otak, kira-kira 9.27 malam tadi, demikian menurut adiknya Md. Hambali Ahmad.
Zainal Abidin, 71, merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor. - BERNAMA
1 Bayi 1 Balak
Oh! Krai Utara
KOTA BHARU - Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Kerajaan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar mencadangkan rakyat di negeri ini menanam semula pokok kekal (balak).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijang berkata, dengan menjadikan konsep ‘1 Bayi 1 Balak’, ia mungkin dapat memberi kesan terhadap penanaman semula pokok balak yang rakus diterokai sekarang ini.
“Saya merayu rakyat di negeri ini supaya sama-sama membanteras penerokaan hutan dan usaha menyemai minat menanam pokok kekal boleh disemai di kala-ngan kanak-kanak.
“Jika rakyat di negeri ini menanam pokok kekal ini sekarang, bayangkan keadaan sekeliling bumi hijau dalam tempoh lima hingga 30 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Perhutanan Sedunia Ke-39 Peringkat Negeri Kelantan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, di sini, semalam.
Beliau berkata, melalui Program Penanaman Pokok Hutan (ru dan bakau) sejak tahun 2000 hingga tahun lalu di Kelantan iaitu sebanyak lebih 31,000 pokok ru ditanam di persisiran pantai, ia membantu mengurangkan pemanasan global yang berlaku sekarang.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan terhadap jabatan perhutanan memandangkan ia turut memberi kutipan hasil terhadap sumber ekonomi di negeri ini.
“Pada 2009, sebanyak RM52 juta hasil melalui perhutanan berjaya dikutip termasuk cukai dan royalti dan ia menunjukkan sumber hutan memainkan peranan utama,” katanya.
Katanya, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di negeri ini penting, malahan rakyat turut digesa supaya tidak menerokai hutan sewenang-wenangnya bagi kepentingan diri.-SH
Krisis DiRaja Kelantan: Rampasan Kuasa? Pemangku Raja Yang Tenang
Oh! Krai Utara
Tengku Muhammad Faris Tenang Biarpun Ada Cubaan Rampas Kuasa

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (kanan) bersalaman dengan exco dan pegawai kerajaan negeri ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa hari ini. – Foto Bernama
KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismai Petra tenang dan mampu tersenyum walaupun dalam keadaan kemelut cubaan "merampas kuasa" melibatkan kerabat diraja Sultan Kelantan.
Baginda yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 6 petang tadi dari Singapura, mampu melemparkan senyuman dan lambaian kepada rakyat dengan disambut pembesar Istana serta beberapa anggota exco Kerajaan Negeri Kelantan termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub.
Sewaktu berjalan menuju ke kenderaan rasminya, baginda dihampiri para wartawan yang ingin bertanyakan reaksi baginda mengenai pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud bahawa Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Hamzah telah mendakwa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Pemangku Raja yang baru menggantikan baginda berkuat kuasa serta merta.
Tengku Muhammad Faris Petra hanya sempat menjawab sambil berjalan: "Tokleh (tidak boleh),Tokleh (tidak boleh), nanti biar sudah. Ginilah kirim salam kat semua orang," katanya dengan tersenyum dan berlalu menaiki kenderaan baginda.
Laporan awal hari ini menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta. Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di sini hari ini.
Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama,Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata, pengumuman Wan Hashim awal hari ini mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.
"Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, Tengku Abdul Aziz, abang kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.
Mohd Aiseri berkata, oleh kerana Tengku Muhammad Faris Petra dilantik ekoran Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua, maka Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.
Pada sidang media yang sama, Ahmad berkata, pendirian kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.
"Kita tetap dengan undang-undang dalam Perlembagaan. Apapun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan," katanya.
Beliau berkata, perkara itu tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu dilakukan pindaan perlembagaan serta tidak perlu diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.
Ahmad berkata, sebagai usaha kerajaan negeri menghentikan kemelut Istana, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wan Hashim berhubung mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja. - BERNAMA
MUsa Hasan Beri Pengakuan Palsu - Sivarasa
Oh! Krai Utara
Sivarasa: 'KPN tiada ijazah undang-undang'
Satu laporan polis dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
Menurut laporan polis yang dibuat oleh peguam Anwar, R Sivarasa, Musa, pegawai penyiasat dalam kes itu memberitahu mahkamah ketika itu bahawa dia mempunyai ijazah sarjana muda dalam undang-undang.
Bagaimanapun, dalam satu lagi perbicaraan yang membabitkan kes rasuah bekas Pengarah Sisatan Jenayah Perdagangan, Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff pada tahun 2009, Musa memberitahu mahkamah dia memiliki “diploma dalam undang-undang dan pengajian pengurusan”.
“KPN telah memberikan kenyataan palsu dengan mengatakan dia memiliki ijazah undang-undang ketika disoal balas dalam kes Anwar, sedangkan hakikatnya dia hanya mempunyai diploma dalam undang-undang,” kata Sivarasa ketika dihubungi.




