Oh Politik: Tengku Bendahara sokong program Membina Generasi Solat
Oh! Krai Utara
Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra bertitah program berkenaan memperlihatkan kejayaannya bagi membina generasi yang cintakan solat.
”Jadi sudah sampai masanya kerajaan negeri menyediakan papan tanda khas di seluruh jajahan berhubung program Membina Generasi Solat supaya rakyat mengetahui program tersebut.
“Saya berharap usaha ini dipertingkatkan agar rakyat bukan sahaja mengetahui program ini, sebaliknya sedar sejauh manakan kejayaan hasil program yang dianjurkan.
“Usaha mempertingkatkan program berkenaan perlu dilaksana bersesuaian dengan Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah dan Negeri Tadahan Wahyu,” titah baginda ketika merasmikan majlis Ihtifal Membina Generasi Al-Quran dan Majlis Aidilfitri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), di Balai Islam, hari ini.
Titah baginda, ibadat solat wajib dilaksanakan dengan sempurna bagi membendung umat Islam melakukan perkara mungkar.
Katanya, masyarakat juga perlu mengubah budaya mendidik anak-anak dengan menghantar anak-anak di peringkat belajar di sekolah agama.
Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita apabila hanya 31 peratus masyarakat Kelantan cukup solat lima waktu sehari mengikut satu kajian yang dilakukan tahun lepas.
Menurutnya, daripada jumlah 1,740 pelajar luar bandar yang dijadikan responden, hanya hanya 50 orang atau 2.8 peratus sahaja mengaku solat lima kali sehari.
“Kajian itu juga merumuskan hanya enam peratus rakyat Kelantan yang mengimarahkan masjid untuk solat berjemaah,” ujarnya.
Menurutnya juga perkara seperti itu malangnya berlaku di Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah dan pegawai kanan kerajaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan