Oh Kelantan: Gian pil kuda, pemuda diikat

Oh! Krai Utara

Share

KAMPUNG BELIMBING - Bahana akibat mengambil pil kuda, seorang pemuda di kampung Belimbing di sini tidak dapat menahan gian dan terpaksa diikat dan dirantai tangannya di hadapan rumah untuk mengelakkan dia dari terlepas dan mengganggu ketenteraman awam. 

Pemuda terbabit yang dikenali sebagai Mohd Fahmi Abdul Rahim, 21, kini disahkan mengambil pil kuda dalam dos yang berlebihan dan tidak dapat mengawal dirinya disebabkan kesan penagihannya itu. 

Bapanya, Ab Rahim Abdullah, 54, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Ya, berkata, Mohd Fahmi merupakan anak keenam dari sembilan adik beradik. 

“Penglibatannya dalam penagihan pil kuda mula dikesan sejak dua tahun lalu (2008) dan dipercayai mengambil pil terbabit dengan seorang kenalannya di kampung Paloh yang dikenali dengan panggilan Mat Yie. 

“Pada mulanya, dia tidak mengaku di atas tindakannya itu yang mengambil dadah terbabit, sehinggalah pemeriksaan air kencing dilakukan dan disahkan bahawa dia mengambil dadah terbabit, saya tekad menyerahkan dia kepada pihak berkuasa,” katanya. 

Katanya, setelah menjalani pemulihan di bawah pusat tahanan dan pengawasan, dia mula menagih semula kerana tidak tahan dengan cemuhan masyarakat sekeliling. 

“Pada mulanya, memang amat sukar untuk menerima keadaan anak saya ini, namun apakan daya dia telah terlibat dalam kancah dadah dan kini disahkan terlebih dos sehingga mengganggu saraf termasuk di bahagian otaknya. 

“Ada kalanya, dia sedar dan boleh bercakap, dan ada masanya dia langsung tidak bercakap dan mendiamkan diri,” katanya. 

Katanya, pernah juga anaknya itu bertindak ganas dengan menolak ibunya semasa dia dalam keadaan marah dan tertekan. 

“Saya tekad mengikatnya di tiang rumah semasa tidur dan melepaskannya ketika dia sedar, tindakan ini dilakukan bagi mengelakkan dia bertindak di luar batasan. 

“Walaupun agar sedih melihatkan keadaannya tetapi saya rela menjaganya kerana masih sayang dan kasihkan dirinya yang berkeadaan sedemikian,” katanya. 

Pak Ya berkata, pendedahan ini dilakukan untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya pil kuda yang boleh merosakkan masa depan individu yang mengambilnya. 

“Saya harap agar ibu bapa dapat menjaga tingkah laku anak-anak dan mengetahui setiap yang dilakukan oleh anak-anak mereka kerana dengan cara ini dapat mengelakkan golongan ini terjebak dalam gejala dadah. 

“Apa yang saya harapkan agar ibu bapa mengambil berat dan memberikan perhatian terhadap anak-anak remaja bagi mengelakkan mereka terjebak dalam gejala ini dan memberi pendedahan sewajarnya kerana sekali terjebak ia akan menyebabkan kehilangan segala-galanya,” katanya.-SH

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...