Oh! Artis: Kasut Emas Piala Dunia 2010 milik Mueller
Oh! Krai Utara
JOHANNESBURG, Afrika Selatan; Bintang sedang meningkat, Thomas Mueller menamatkan cabaran Afrika Selatan 2010 sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas pencabar kasut emas, David Villa dan Wesley Sneijder gagal menjaringkan gol pada perlawanan akhir Piala Dunia, awal pagi semalam.
Mueller, 20, menjaringkan gol kelimanya untuk Jerman ketika menang 3-2 ke atas Uruguay pada perlawanan penentuan tempat ketiga, Ahad lalu.Fifa turut menamakan Mueller sebagai pemain muda terbaik kejohanan.
“Anugerah Kasut Emas ini menakjubkan terutama kerana saya pendatang baru dalam kancah Piala Dunia. Jika ada yang meramalkan saya mampu memenanginya sebelum Piala Dunia berlangsung, pasti saya akan menempelak mereka.
“Saya gembira kerana kini menjadi sebahagian daripada legenda bola sepak dunia seperti Pele, Franz Beckenbauer, Michael Owen. “Secara peribadi, anugerah ini turut membuktikan jika kita berkerja keras, pasti hasilnya akan diraih. Saya puas kerana saya nikmati pulangan daripada kerja keras yang saya lakukan dan ia bakal menjadi azimat buat saya.
“Apapun saya lebih rela melepaskan anugerah ini jika saya pulang dengan gelaran juara dunia,” katanya.
Mueller meraih kasut emas itu - dengan mengatasi pemain bertaraf bintang seperti Sneijder dari Belanda, Villa (Sepanyol) dan Diego Forlan (Uruguay) yang menamatkan saingan dengan masing-masing menjaringkan lima gol - apabila turut membantu tiga gerakan menjaringkan gol di kejohanan ini.
Kedua-dua Villa dan Sneijder gagal menjaringkan gol pada perlawanan akhir di Soccer City yang menyaksikan pemain Sepanyol, Andres Iniesta memecahkan kebuntuan gol dengan jaringan minit ke-116 bagi mengecewakan skuad Oranje.
Keputusan itu menyaksikan Mueller - pemain Bayern Munich untuk mengikut jejak langkah rakan senegaranya, Miroslav Klose yang memenangi anugerah itu empat tahun lalu - menjulang kasut emas kejohanan kerana gol paling banyak.
Ironinya, ketika Sepanyol memenangi perlawanan akhir itu, Mueller dan pasukan Jerman sedang dalam perjalanan pulang ke Eropah.
Mueller turut mengetepikan Giovani Dos Santos dari Mexico dan Andre Ayew (Ghana) untuk anugerah pemain muda terbaik.
Pemain Jerman itu menyerlah di kejohanan ini selepas menjaringkan gol perlawanan pembukaan sewaktu menang 4-0 ke atas Australia, kemudian menunjukkan tindakan penyudah menarik bagi kedua-dua gol separuh masa kedua untuk menyingkirkan England 4-2 bagi pusingan 16.
Dia turut membuktikan bukan sekadar bernasib baik dengan menjaringkan gol pertama Jerman ketika menang 4-0 ke atas Argentina, walaupun kad kuning dilayangkan kepadanya ketika menentang pasukan bimbingan Diego Maradona menyebabkannya terlepas aksi separuh akhir ketika bertemu Sepanyol.
Jelas sekali, musim ini begitu luar biasa buat pemain muda itu yang hanya akan berusia 21 tahun pada 13 September ini. Bintangnya untuk menyerlah pada masa depan begitu terang selain mengesahkan kedudukannya untuk pasukan Jerman bagi tempoh yang lama. - AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan