Oh! Manis:.Menteri Kata " Gula Cukup, jangan Risau" Rakyat Kata " Mana Gula" sapa betul ni?
Oh! Krai Utara
Pengguna Merungut Gula Kurang Di Kelantan
KOTA BAHARU: Bekalan gula dikatakan berkurangan di Kelantan sejak sebulan dua lalu.
Misalnya dalam tinjauan di sebuah pasar raya di sini mendapati pembeli berpusu-pusu membeli gula setiap kali diletakkan di tempat jualan sehingga kehabisan bekalan dalam sekejap masa sahaja.
Maka pasar raya berkenaan terpaksa menetapkan bahawa setiap pembeli hanya boleh membeli dua kilogram gula.
Seorang peniaga kantin sekolah, Rohani Majid berkata beliau sukar mendapatkan bekalan sejak sebulan lalu.
"Sudah jenuh saya mencari gula, semua kedai kehabisan stok. Ada yang hadkan pembeliannya," katanya.
Seorang suri rumah, Siti Norlida Mohd Akhir berkata beliau terpaksa menggunakan susu pekat bagi menggantikan gula sejak sebulan lalu.
Peniaga kedai runcit, Zakuwan Rashid berkata memang berlaku masalah kekurangan gula di mana beliau sendiri sukar mendapat bekalan.
"Saya terpaksa meletak tanda bahawa bekalan gula sudah habis di kedai saya," katanya.
Namun Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri menafikan berlaku kekurangan gula.
Pemangku Pengarah jabatan tersebut, Rosli Ahmad berkata pihaknya setakat ini tidak menerima laporan kekurangan bekalan dari para pembekal.
"Lapan pembekal utama gula di negeri ini tidak membuat sebarang laporan mengenai mereka tidak mendapat bekalan gula kepada pihak kami. Ini bermakna masalah kekurangan sebenarnya tidak langsung berlaku," katanya kepada Bernama.
Menurutnya pejabat tersebut membuat pemantauan bekalan setiap hari dan mendapati semua pasar raya dan kedai runcit mendapat bekalan yang secukupnya.
"Gula sentiasa ditambah mengikut keperluan, seperti bulan April lalu sebanyak 4,723 metrik tan gula telah dibekalkan berbanding pada Mac di mana sebanyak 4,725 metrik tan dibekalkan dan setakat ini Mei ini, sebanyak 1,606 metrik tan telah dibekalkan kepada pembekal," jelasnya.
Rosli berkata pembeli mengalami kekurangan gula mungkin di sebabkan ramai yang membelinya dalam masa yang serentak.
"Mungkin berdasarkan khabar angin kononnya negeri ini sedang menghadapi kekurangan gula menyebabkan setiap pengguna membelinya dengan kuantiti yang berlebihan untuk dijadikan stok di rumah masing-masing.
"Ada juga pengguna yang membeli gula dengan banyak mungkin untuk keperluan majlis-majlis perkahwinan pada musim cuti persekolahan tidak lama lagi," katanya.
Bagaimanapun Persatuan Pengguna Kelantan meminta supaya menyiasat kemungkinan gula diseludup ke negara jiran sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan.-BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan