oH! enak:.Nasi Lemak Goreng

Oh! Krai Utara

Share
Nasi lemak goreng? Hidangan ini jarang didengar, malah mungkin ada yang akan mendakwa sajian itu tidak masuk akal kerana menggoreng nasi yang bersantan dan berminyak, selain ia boleh menyebabkan makanan itu kurang menyihatkan.


Bagaimanapun, tanggapan itu nyata meleset kerana ia bukan saja enak dan menyelerakan, malah hidangan itu digoreng tanpa menggunakan setitik minyak bagi mengekalkan kesegaran dan rasa berlemak nasi berkenaan.

Itu antara menu istimewa yang boleh menjadi pilihan anda untuk berpuka puasa pada Ramadan kali ini. Juadah istimewa itu disajikan Restoran Billi Kopitiam, Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu yang memang sudah terkenal sebagai restoran menghidangkan 'makanan unik dan pelik'.

Restoran berkenaan juga menerima pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim) untuk memiliki status restoran bukan Islam yang mendapat kelulusan Halal.

Pemilik restoran, Billi Chua, 45, mengakui perlu mematuhi syarat ketat pihak berkuasa untuk memperoleh perakuan halal, namun menganggap ia berbaloi kerana ramai pelanggannya adalah masyarakat Melayu.

Mengenai sajian unik di situ, selain sajian nasi lemak goreng Billi turut menyediakan laksam goreng yang kini menjadi buah mulut pelanggan setia restorannya dan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Bukan itu saja, menu minuman di kedai berkenaan turut mempunyai kelainan apabila menampilkan teh tarik limau, air batu campur istimewa dan ais kacang merah kisar.

"Saya menyediakan 70 menu makanan dan minuman yang unik, termasuk hidangan berunsur kesihatan seperti air buah, teh cina dan sebagainya. Saya peroleh ilham dapatkan resipi ini daripada pengalaman dan keluarga.

"Walaupun saya bukan Melayu, namun semua masakan orang Melayu saya kuasai. Selain itu, saya memperoleh resipi turun temurun daripada nenek saya yang banyak belajar mengenai masakan Melayu," katanya.

Menurutnya lagi, bagi mencipta kelainan resipi, dia menggabungkan menu masakan Melayu dengan Cina kemudian dicampur pula dengan adunan sendiri untuk menghasilkan masakan yang istimewa.

"Biasanya percubaan saya untuk mencipta makanan baru mendapat tempat di hati pelanggan," katanya yang memulakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu.

Selain nasi lemak goreng dan laksam goreng, antara menu istimewa yang dihidangkan ialah nasi ayam berempah pedas. 

Katanya, menu tradisional yang diberi nafas baru itu kini yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung pelbagai kaum.

"Pelanggan yang beragama Islam juga tidak perlu risau dan bimbang untuk menjamu selera di sini kerana semua tukang masak beragama Islam dan rakyat tempatan," katanya.

Antara lain, Billi berkata, bagi memastikan restoran sentiasa mempunyai pelanggan baru, dia mencari kelainan menu sedia ada dan memperbaharuinya, dalam masa sama dapat mencuri perhatian pelanggan.

Selain itu, restoran berkenaan turut popular dengan hidangan popia Ipoh dan popia pisang.

"Setiap pelanggan yang rasa keenakan popia di Billi Kopitiam pasti tidak puas dan akan datang semula ke sini. Kami juga mengalu-alukan pelanggan berbuka puasa di sini sepanjang Ramadan ini," katanya.

[ Source: Ekspresi, Metro Ahad ]


0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...