Saman RM100 Juta: Mahkamah Arah Keluarga Altantuya Bayar Jaminan Kos RM60,000
Oh! Krai Utara
SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini Selasa memerintahkan keluarga Altantuya Shaariibuu membayar jaminan kos berjumlah RM60,000 kepada kerajaan Malaysia dan bekas penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda berhubung saman RM100 juta yang difailkan oleh mereka kerana kematian wanita Mongolia itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaleha Yusof semasa membuat keputusan itu di dalam kamarnya memberi tempoh tiga bulan kepada plaintif (keluarga Altantuya) untuk membayar wang tersebut iaitu RM30,000 kepada setiap defendan (kerajaan Malaysia dan Abdul Razak).
Kerajaan Malaysia yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Habibah Haron, dan Abdul Razak yang diwakili peguam K.K.Wong, sebelum ini memfailkan permohonan supaya keluarga Altantuya menyediakan jaminan kos kepada mereka sebanyak RM1 juta atau apa-apa jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah.
Permohonan jaminan kos ialah permohonan untuk plaintif mendeposit sejumlah wang kepada mahkamah sebagai jaminan untuk meneruskan prosiding saman mereka.
Peguam Karpal Singh, yang mewakili keluarga Altantuya, ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata beliau tidak akan membebankan keluarga Altantuya untuk membayar jaminan kos itu kerana ayah Altantuya, Shaariibuu Setev yang berpendapatan AS$200 (RM620) sebulan, perlu menyara keluarganya termasuk dua anak Altantuya.
Karpal Singh, yang juga Pengerusi DAP dan Anggota Parlimen Bukit Gelugor, berkata beliau akan meminta jasa baik semua Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri daripada pakatan pembangkang untuk menghulurkan sumbangan bagi membantu menjelaskan bayaran jaminan kos itu bagi pihak keluarga Altantuya.
"Saya akan berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, dan saya berpendapat ini adalah jalan terbaik," katanya.
Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, menyaman kerajaan Malaysia, Abdul Razak dan dua tertuduh dalam kes pembunuhannya, C/Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dengan menuntut ganti rugi RM100 juta bagi kematian wanita itu.
Abdul Razak, 49, telah dituduh bersubahat bersama Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 38, dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006. Beliau dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yassin pada 31 Okt 2008 tanpa dipanggil membela diri manakala Azilah dan Sirul Azhar pula didapati bersalah pada 9 April tahun lepas dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
-- BERNAM
0 ulasan:
Catat Ulasan