Pesakit kronik terima sumbangan dari Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri

Oh! Krai Utara

Share

KUALA KRAI - Kesukaran hidup dihadapi seorang penghidap sakit buah pinggang, Mohamad Lateh, 52, dari Kampung Kuala Nal, dekat sini, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Pada kunjungannya ke kampung itu semalam, Abdul Latiff yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri dan Yang Dipertua Pas kawasan menyampaikan bantuan Tabung Pesakit Kronik bagi meringankan beban ditanggung Mohamad.

Abdul Latiff berkata, bantuan tabung di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar itu antara usaha Kerajaan Negeri membantu pesakit kronik terutama bagi yang perlu berulang-alik ke hospital.

“Permohonan untuk mendapatkan bantuan tabung ini sentiasa terbuka dan pemohon hanya perlu mengisi borang serta mendapatkan pengesahan penghulu mukim di kawasan masing-masing,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada Mohamad di Kampung Kuala Nal, di sini, semalam.

Hadir sama Penghulu Mukim Kuala Nal, Abdul Sattar Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohamad berkata, dia dikesan menghidap sakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu dan mula mendapatkan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di Hospital Kuala Krai (HKK) sejak 2003.

Semenjak itu juga katanya, dia tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan terutama kerja berat bagi mengelakkan kecederaan pada bahagian tangan yang terpaksa dibedah bagi membolehkannya mendapatkan rawatan tersebut.

Menurutnya, selain mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM120 sebulan, segala perbelanjaan keluarga kini ditampung isterinya, Simah Yusoff, 48, yang mengambil upah sebagai pengasuh dengan pendapatan tidak seberapa.

“Ada juga seorang anak saya yang sudah bekerja tolong tapi sekadar cukup untuk beli beras,” katanya yang mempunyai empat anak berumur antara 19 tahun hingga 23 tahun.

Mohamad berkata, dia bersyukur dan berterima kasih terutama kepada Abdul Latiff kerana memberikan perhatian kepada permohonannya untuk mendapatkan bantuan tabung itu yang dibuat pada penghujung tahun lalu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...