Oh Artis : BENJY tidak mengaku salah memiliki 0.24 gram syabu
Oh! Krai Utara
BENJY yang tidak mengaku salah atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu terpinga-pinga ketika ditahan semula di luar pejabat kaunter pembayaran jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. Di belakang, kelihatan Azean cuba mendapatkan penjelasan penahanan semula Benjy daripada seorang anggota polis.
KUALA LUMPUR: Tidak sampai dua jam selepas dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000, pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, ditahan semula untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1952).
Dia yang sebelum itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu, ditahan polis di luar pejabat kaunter pembayaran jaminan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sejurus selepas ibunya, Azean Irdawaty, selesai membayar ikat jamin itu pada 2.50 petang semalam.
Benjy kelihatan terpinga-pinga dan sempat bersalaman dengan ibunya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Penahanan semula Benjy turut mengejutkan Azean dan suaminya, Khairil Anwar, manakala adik pelakon itu, Elza Irdalyna menangis sambil menjerit ke arah polis sebelum dipujuk peguam bela, Sharon Khoo.
Terdahulu, Benjy yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, didakwa di mahkamah pada jam 12.20 tengah hari, atas tuduhan memiliki syabu di rumah beralamat A-6-5 Menara Duta 2 Jalan 1/38B, Jalan Segambut di sini pada jam 4 petang, 11 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Suhaima Mohd Noor pada awalnya menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin tetapi Amer Hamzah memohon supaya ikat jamin itu dikurangkan sehingga RM1,000 dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri.
Majistret Hafizza Sauni bagaimanapun memerintahkan Benjy diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Rakan wanita Benjy berusia 23 tahun yang ditahan dan direman bersamanya pula dibebaskan dengan jaminan polis.
Azean ketika ditemui pemberita, berkata beliau terkejut dengan insiden itu dan kecewa dengan layanan polis yang didakwa tidak menjelaskan lebih terperinci berhubung penahanan semula anaknya.
“Kak Yan tanya beberapa kali kepada polis yang tahan Benjy kenapa dia ditahan semula tetapi seorang pun tidak menjawab. Kak Yan ibunya dan sedang sakit. Tidak bolehkah mereka beritahu elok-elok. Buat secara profesional,” katanya.
Azean turut kesal kerana sejak anaknya ditahan reman 14 hari bermula 11 Mac lalu, beliau dan peguamnya gagal menemui Benjy dan hanya kelmarin sempat menemuinya untuk berbincang mengenai kes yang dihadapi.
Mengenai isteri Benjy, Azean berkata, beliau tidak membenarkan menantunya datang ke mahkamah kerana masih trauma dengan kejadian itu. Turut hadir memberi sokongan kepada Benjy ialah pelakon Elie Suriatie.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bandaraya, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang ketika dihubungi berkata, Benjy ditahan sekali lagi apabila siasatan polis mendapati pelakon itu terbabit dengan aktiviti memproses, mengedar dan menjual dadah jenis kokain dan syabu di sekitar Lembah Klang.
“Laporan penuh berhubung siasatan itu akan dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan susulan termasuk ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak selama dua tahun.
“Dia ditahan berdasarkan kepada bahan yang ditemui di rumah sewanya di sebuah kondominium mewah di Kepong termasuk peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah berkenaan, dua minggu lalu” katanya
0 ulasan:
Catat Ulasan