Aku Dah kata, Ustaz Azizan KaKi Pulun punya, nasib Baik bukan kaki balun

Oh! Krai Utara

Share
MB Kedah Semakin Pulun Selepas 2 Tahun Memerintah
Oleh : Azizi Hj Abdullah


YAB Datuk Seri Us.Azizan Abdul Razak (selepas ini akan disebut Azizan-maafkan saya YAB) sudah menjadi Menteri Besar Kedah sudah 2 tahun ( 8 Mac 2008) beberapa hari. Selama dua tahun Pas menerajui Kedah, Azizan tetap mendapat jelling cemburu dari Umno/BN tetapi tidak sehebat yang dialami oleh PR Selangor, Pulau Pinang setelah Perak BN berjaya tumbangkan melalui kuasa yang dianggap oleh rakyat sebagai institusi ‘maha adil’.

Dalam keadaan pulun memulun ini, apakah kerana Azizan selaku Menteri Besarnya bijak menepis dan bersilat kuntau politik melalui kerajaan berhemah beliau?
Dengan 10 barisan exconya, beliau diapit oleh beberapa tenaga muda yang cukup bersedia melangkah membuka silat jika ada serangan dari pihak mana pun. Namun perisai utama yang disandang dan tenaga yang direngkuhnya tentulah ‘Akhlak Islam’.

Sama dengan pemerintahan Umno/BN selama puluhan tahun yang lalu, walaupun baru 2 tahun, Azizan berkewajipan memelihara dan mengjaga 1.9 juta rakyat Kedah berbagai kaum. Sama dengan Umno/ BN, Azizan pasti mengambil kira 75.4% Melayu, 14.4% Cina, 7.0% India dan 1.4% Siam. Bagaimanapun yang membezakan Azizan dengan Menteri-Menteri Besar sebelumnya ialah ‘Akhlak Islam.’ Walaupun mungkin ramai yang tidak setuju dengan gelaran ini, tetapi bagi penulis inilah sahaja gelaran yang sesuai buat sementara berdasarkan 2 tahun beliau memimpin Kedah sebagai Menteri Besar.

Selama dua tahun, perkara kebaikan yang dilakukan oleh Umno/BN dulu tetap dilakukannya. Lampu di jalan raya tetap menyala. Azan di Masjid Zahir tetap berkumandang. Pekan Rabu atau Che Det Mall tidak pernah ditutup. Tetapi ada pula Azizan tidak lakukan apa yang Umno/BN lakukan. Mungkin dulu rasuah perkara biasa tetapi Azizan telah memulakan dengan tender terbukanya. Dan Azizan tetap melakukan apabila Umno/BN tidak melakukan seperti meneruskan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) sebanyak 21 buah, iaitu Sekolah Rendah Islam, Sekolah Menengah Islam dan Ma`had sebanyak RM595,000.00.

2 tahun Kedah Pas memerintah, dengan teraju utama Azizan yang dulu dan kini tetap berketayap (sesekali bersongkok) telah dianggap oleh Exco Kanannya, Ir. Fakhrurazi Hj Zawawi sebagai pusat pemerhati ke 2 selepas Kelantan.

Kerana itu juga Wan Nik Wan Jusoh Setiausaha Jabatan Pilihanraya Pusat mengingatkan kepada seluruh jentera Pas Kedah pada 7 Mac 2010 yang lalu di Komplek Pas Kedah bahawa jentera Pas Kedah mesti waspada kerana sehingga kini tidak kurang 10 wakil Pas yang ditawarkan berjuta-juta ringgit supaya meninggalkan Pas. Maka kerana itu, Wan Nik selaku Setia Usaha Jabatan Pilihanraya berharap jentera peringkat bawah sangat mustahak memain peranan.

Azizan, jika mahu disusun ayat untuk mengenali wataknya sebagai Menteri Besar Pas selama dua tahun di Negeri Kedah ini, mungkin boleh disebut sebagai; Kelolo bertradisi, pemarah tapi pemaaf - cenge tapi tak lama -kasar dalam lembut -tegas tetapi berpasal- pemaaf tapi strik - kelakar tapi serius. Dalam mana-mana ucapan pun beliau tetap membawa tamsil misalan tradisi lucu tetapi sangat bermakna. Sebagai contoh, ucapan terkini pada 7 Mac 2010 ketika memberi ucapan penutup Perasmian Gerak Kerja Pilihanraya ke 13 di Komplek Pas Kedah, beliau menyamakan mereka yang tidak senang dengan kepimpinannya seperti ‘ikan haruan kelupur dalam raga batang’. “Sampai habis sisik!” katanya.

2 tahun sebagai Menteri Besar yang meneraju ‘Kedah Sejahtera’ menggantikan slogan ‘Kedah Gemilang/ kedah Maju’ , Umno/BN yang Menteri Besarnya Mahadir Khalid, watak dan kepimpinannya telah digambarkan oleh Pengerusi Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dato’ Hj Abdul Halim Abd. Rahman sebagai:

Pas Kedah boleh berbangga kerana mendapat Pesuruhjaya yang berkualiti.
Kajian Merdeka Center sendiri meletak Azizan seorang yang bersih, bijak berkomunikasi dengan penuh persiapan. Berhadapan dengan media secara berhimah dan berhati-hati.
Bijak mematah hujah dan soalan provokasi dari wartawan.
Ekonomi Kedah meningkat.
Mampu membayar hutang Kerajaan Pusat, sehingga Audit Negara sendiri memuji tentang perbelanjaan pemerintahan Kedah.
Mempunyai hubungan mesra dan baik dengan exco-exconya.
Mampu meningkat pendapatan RM500 juta setahun menjelang 2015 kepada RM1 bilion.
Kalangan pemimpin luar memuji kewibawaan beliau.
Memberi keyakinan Pas Kedah akan terus menang.
Tidak seperti Menteri Besar lain, beliau mampu berbaik-baik dengan pemimpin lain. Dengan Mahathir baik, dengan pusat baik. Kerana itu projek-projek yang melibatkan bersama pusat berjalan lancar.
Bijak memelihara hubungan dengan istana.
Tidak berkonfrantasi dengan NGO-NGO.

Azizan yang menerajui Kedah sepanjang 2 tahun berkali-kali menekankan bahawa kemenangan Pas Kedah dan terus memerintah, ia bukanlah satu ‘ghanimah’ kepada ahli Pas. Ghanimah menurut beliau ialah harta rampasan dari musuh setelah menang dalam peperangan. Tetapi Pas Kedah memenangi pilihanraya dan hasil bumi Kedah adalah hak rakyat yang mesti diuruskan dengan amanah. Maka kerana itu selama dua tahun Azizan menerajui Kedah tender terbuka yang menjadi dasar pentadbirannya.

Barangkali rakyat boleh berbangga selama dua tahun Pas menerajui Kedah apabila setahun saja hasil balak yang pernah Azizan ‘gempaq’ Kerajaan Pusat berjaya memungut hasil RM28.14 juta sedangkan tahun sebelum Pas memerintah hasilnya hanya RM9.21 juta. Azizan pernah memberitahu jika sebelumnya primium balak sebanyak RM1 juta tetapi apabila Pas memerintah melalui tender terbuka, tahun ini sahaja telah mencapai RM38 juta.

Cukai Tanah memberi kelegaan kepada rakyat bilamana berjaya memungut RM30.79 juta. Royalti pengeluaran bahan batuan mencapai RM14.65 juta sedangkan sebelumnya ketika Umno/BN hanya RM15.32 juta dan RM13.57 juta.

Pembentukan dan pengisian rakyat Negeri Kedah bolehlah diumpamakan sebagai sebuah enjin. Enjin utama kesejahteraan ini ialah mencelikkan minda. Ia satu peroses berterusan bagi memahami Al-Qur`an. Azizan sebagai Menteri Besar yang meletakan Al-Qur`an dalam segala urusannya telah menyumbang kepada tenaga ini seramai 3,000 orang.

Pendidikan sangat penting. Selain dari meningkat Kolej Insaniah kepada Kolej Universiti, akan berdiri pula sebuah universiti lagi di Baling (KUIN) dengan menawarkan 41 program peringkat sijil,diploma,ijazah, sarjana dan PhD. Sebanyak 25 juta untuk kos operasi Maktab Mahmud. Sebanyak 2 juta untuk merealisasi hasrat melahirkan graduan dan RM4.2 juta bagi menyediakan bahan untuk perpustakaan.

Dari suka berkelolo sehingga kepada serius, dari tegas tetapi berpasal, dalam senyap Azizan telah mendapat persetujuan memotong 5% gaji exconya dan semua itu disalurkan pula kepada Tabung Tunku Mahmud. Dalam keadaan ‘cenge’nya, beliau tetap memiliki sifat lembut, lalu 30% projek pembangunan diberi tumpuan kepada projek yang mendesak.

Dengan dasar ‘Keadilan Untuk Semua’ beliau bertindak dalam tadbir urusnya bagi memperkukuh dan mengharmonikan rakyat. Dari kalangan orang-orang Siam, kerajaan Kedah sangat prihatin. Dilantiknya Exco Khas untuk menjaga kepentingan orang-orang Cina, India dan Siam. Mungkin itu model Kelantan tetapi apa salahnya jika itu kebaikan. Manakala soal prasarana pendidikan adalah tugas pusat tetapi Azizan telah meluluskan sebidang tanah kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil di Sungai Tok Pawang.

Di Selangor timbul isu kepala babi, lembu korban. Di Kedah selama dua tahun Pas menerajui, isu babi juga berlaku. Ia bukan kepala tetapi kandang. Kerajaan Kedah telah dapat mereda dan dapat diterima oleh kaum berkenaan. Cuma yang dihebuhkan ialah golongan apa yang dimisal tamsilkan oleh Azizan ‘ macam ikan haruan kelupur dalam raga kurung batang.’

Dengan berpandangan jauh demi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat, Azizan dengan kesepakatan exco-exconya telah berusaha membangun Sungai Limau (kawasan pilihanraya beliau) Hidro Karbon Hub dengan nilai RM83 bilion lebih. Dengan populasi rakyat 1.9 juta, Azizan sangat nampak bahawa RM400 juta hasilnya akan memberi manfaat kepada rakyat apabila dilaksanakan nanti. Kulim Hi Tech Park diterajui oleh mereka yang arif dalam teknologi. Sektor pertanian juga tidak diabaikan. Pada 8 Mac 2010 kolam ternakan ikan keli telah dirasmi di dareah Baling. Bayangkan seorang yang dianggap lebai dan berkopiah lebai, telah melihat ikan keli dan sepat akan menjadi hasil ke peringkat antara bangsa. Kedah selama dua tahun diperintah Pas, siapa sangka ternakan ikan keli hanya dilakukan melalui proses kolam buatan, bukan kolam berselut lumpur. Bayangkan ikan keli akan dijadikan eksport sardin.

Kedah bukan saja membangun dari segi fizikal, prasarana. Azizan melihat ruh agama yang disuaipadankan dengan slogan ‘Kedah Sejahtera’ perlu dilaksanakan. Pentadbiran menurut Al-Quran disifatkan sebagai ‘Qaulan thaaqila,’ ialah nilai-nilai hakikat kehidupan yang mempunyai hala tuju. Maka disungguhkan praktikal ini dengan mewujudkan Qariah, Al Fahmi, At Tadabbur dan Al Amal wal uns (beriman dan merindui pelaksanaan Qur`an)

Itulah idaman Azizan dan pemerintahan Pas di Kedah. Bertolak dari pembinaan nilai di atas, berpaksikan kepada kefahaman yang jelas, Insyaallah Kedah yang telah mengharungi berbagai karenah akan terus di tahun-tahun mendatang. Kedah akan pulun ke arah kesejahteraan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...