28 Mac keputusan ketepikan injuksi pemimpin UMNO

Oh! Krai Utara

Share
 Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 28 Mac ini sebagai tarikh keputusan untuk mengetepikan perintah injuksi ex-parte yang diperoleh bekas setiausaha UMNO bahagian Tanah Merah, Amran Ab. Rahman terhadap Ketua dan Timbalan UMNO bahagian berkenaan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Baharuddin Yusoff. 

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan dari kedua-dua belah pihak plaintif dan defendan. 

Pada 10 Februari lalu, bekas setiausaha UMNO bahagian Tanah Merah itu selaku plaintif dalam kes ini memfailkan saman pemula ex-parte dengan menamakan Ketua dan Timbalan UMNO bahagian itu sebagai defendan. 

Dalam prosiding yang berlangsung selama hampir tiga jam semalam, Amran diwakili peguam Wan Jawahir Haron sementara Ikmal Hisyam dan Baharuddin diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun. 

Pada 16 Februari, mahkamah yang sama telah mengeluarkan perintah injuksi terhadap Ketua dan Timbalan UMNO Bahagian Tanah Merah, supaya dilarang daripada membuat apa-apa transaksi berkaitan aset atau harta milik UMNO Tanah Merah. 

Berdasarkan perintah injuksi tersebut, kedua-dua defendan sama ada melalui diri sendiri atau ejen atau wakil dan sebagainya dilarang dan ditegah daripada membuat sebarang transaksi berkaitan aset atau harta berupa tanah berserta bangunan yang dikenali dengan Lot 107, HSD 10/77, Lot 134, GRN 17704, Lot 207, GRN 17699, Lot 208 GRN 17700 dan Lot 209 GRN 17701 Bandar Tanah Merah, Mukim Bandar Tanah Merah, Kelantan. 

Defendan-defendan berkenaan sama ada melalui wakil atau sebagainya juga dilarang dan ditegah membuat sebarang transaksi berkaitan pengeluaran wang di akaun Maybank Tanah Merah N0:00305140063, akaun Public Bank Tanah Merah No: 3094199827. 

Selain itu, kedua mereka sama ada melalui diri sendiri, wakil, pekerja atau sebagainya juga dihalang daripada melakukan apa-apa perkara atau tindakan yang dihalang untuk dilakukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 sehingga mendapat arahan lanjut daripada Pendaftar Pertubuhan kerana dipercayai menjalankan tugas di bawah cawangan UMNO yang telah dibubarkan. 

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding kes berkenaan, Hafarizam berkata, permohonan pihaknya untuk mengetepikan perintah injuksi tersebut didengar serentak dengan permohonan plaintif untuk melanjutkan injuksi sehingga perbicaraan kes itu tamat. 

Menurutnya, antara penghujahan yang dikemukakan ialah, Amran bukan lagi ahli UMNO, maknanya dia tidak ada kepentingan untuk mengambil tindakan kepada Datuk Ikmal dan timbalannya. 

“Amran juga gagal menunjukkan asas tindakannya. Ini agak teknikal iaitu apakah sebenarnya yang Amran cuba bawa ke mahkamah?

“Pada 16 Februari lalu, apabila Amran mendapat perintah injuksi ex-parte, beliau tidak memfailkan writ saman iaitu tuntutan yang beliau ingin tuntut kepada Datuk Ikmal dan timbalannya,” katanya 

Hafarizam berkata, sehingga ke hari ini beliau mempertikaikan di mana tuntutan Amran yang sebenarnya kerana pihaknya masih belum menerima writ saman tersebut. 

“Saya telah nyatakan kepada mahkamah, atas sebab kegagalan Amran untuk memfailkan writ saman itu, maka beliau tidak ada kuasa tindakan lagi untuk meneruskannya. Itulah hujah saya yang kedua,” katanya. 

Menurutnya, hujahan ketiga yang dikemukakan ialah Amran sebagai plaintif dalam kes tersebut gagal menunjukkan bahawa cawangan Banggol dan Pondok Lama dalam UMNO bahagian Tanah Merah diluluskan untuk dihidupkan semula pada 17 Februari 2010. 

“Jadi apa juga tindakan yang Amran ambil bermula 10 Februari sampai ke hari ini telah menjadi akademik kerana cawangan tersebut telah dihidupkan semula dan Menteri yang memutuskan membenarkan rayuan UMNO bahagian Tanah Merah itu. 

“Hujahan keempat ialah Amran gagal menunjukkan kepada mahkamah bahawasanya beliau telah melalui proses parti iaitu berjumpa dengan Datuk Ikmal selaku ketua atau Baharudin atau setiausaha bahagian bagi menunjukkan bukti bahawa bahagian sedang cuba menghidupkan cawangan berkenaan,” katanya. 

Selain itu, kata Hafarizam, Amran juga gagal menunjukkan bukti bahawa beliau pergi ke pendaftar pertubuhan ROS untuk menghidupkan dan mendapatkan gambaran sebenar. 

Hafarizam berkata, hujahan terakhir yang dikemukakan ialah tindakan yang dilakukan Amran adalah terlarang dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966. 

“Akta tersebut menyatakan apa juga keputusan parti, hal dalaman parti dan lain-lain hal berkenaan dengan parti tidak boleh dibawa ke mahkamah untuk dihalang atau diperbetulkan. 

“Saya ingin menyatakan walaupun yang disaman ini ialah Datuk Ikmal dan Baharuddin, perkara yang Amran cuba bawa ialah bangunan UMNO Tanah Merah, dan akaun UMNO Tanah Merah,” katanya.-sINAR hARIAN

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...