Ustaz Abdul Latiff: Hantarlah seorang anak timba ilmu agama,

Oh! Krai Utara

Share
Ibu bapa perlu sedar adalah menjadi tanggungjawab mereka atau sebagai suatu fardhu kifayah untuk menghantar anak mereka ke sekolah agama, bagi melahirkan generasi mempunyai ilmu agama dan berbakti kepada masyarakat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, dalam sebuah keluarga seboleh-bolehnya seorang anak dihantar ke sekolah agama bagi membolehkan mereka menguasai ilmu akhirat yang pastinya tidak merugikan. 

Abdul Latiff berkata, potensi anak yang dihantar ke sekolah agama adalah sama dengan sekolah biasa malah lebih baik, memandangkan ia memberikan bukan sahaja akademik tetapi juga ukhrawi dan siasah. 

“Kalau boleh, sekurang-kurangnya seorang anak dalam keluarga dihantar ke sekolah agama untuk membolehkan dia mempelajari selok-belok ilmu agama dan sekurang-kurangnya mampu memandikan jenazah ibu bapa kemudian hari. 

“Tetapi jika semua anak dihantar ke sekolah agama, lagi bagus kerana sekolah agama juga menyediakan peluang yang sama untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dan kelebihannya ialah mereka akan menguasai ilmu agama dalam masa yang sama,” ketika majlis menyampaikan sumbangan hadiah kecemerlangan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan sumbangan pakaian seragam di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Saadah dekat sini, semalam. 

Abdul Latiff berkata, akibat kekurangan generasi berilmu agama ini juga majlis ilmu seperti ceramah agama juga semakin kurang di kawasan tertentu sehinggakan hanya ada satu sahaja kuliah agama dalam masa seminggu. 

Katanya, sedangkan kuliah agama di surau atau masjid perlu diadakan sekerap mungkin untuk memberikan bimbingan kepada anak mukim masing-masing, bagi mengelakkan mereka terleka dalam mengejar kehidupan duniawi. 

Dalam masa yang sama, pihak sekolah juga digesa memainkan peranan untuk mewujudkan kembali keyakinan ibu bapa terhadap institusi pendidikan agama dengan memperkukuhkan kegiatan dan aktiviti untuk melahirkan pelajar yang berkualiti tinggi setanding dengan sekolah lain. 

Sementara itu, dalam majlis tersebut seramai 80 pelajar tingkatan satu menerima sumbangan pakaian seragam dan pelajar cemerlang PMR 2009 juga menerima sumbangan cenderamata daripada Abdul Latiff.

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...