Dunia penulisan di tangan penulis muda mutakhir ini memperlihatkan perkembangan yang begitu menarik dalam menghasilkan karya-karya yang bernafas Islam. Kita menyaksikan munculnya ramai penulis yang menghasilkan karya-karya yang mengandungi nilai-nilai dan akhlak Islam atau kita menyebutnya sebagai karya yang bernafas Islam.[1] Jika karya itu dalam bentuk puisi, selalunya ramai yang akan menamakannya dengan karya sufi. Walaupun saya sendiri sebenarnya tidak bersetuju apabila ada karya-karya bernafas Islam dinamakan dengan karya sufi. Ini kerana bukan semua orang berminat dengan karya-karya Islam yang diberi nama karya sufi. Apabila dilabelkan sesebuah karya Islam itu dengan nama karya sufi, ramai yang beranggapan tentu ianya untuk orang-orang sufi dan orang-orang yang berminat dengan aliran sufi sahaja. Bagaimana dengan nasib masyarakat Islam lain yang bukan di aliran sufi dan mereka juga tidak berminat dengan karya-karya sufi? Tentunya mereka awal-awal lagi tidak akan membaca karya-karya yang dilabelkan dengan nama karya sufi kerana mereka menganggap karya berkenaan bukan untuk orang seperti mereka.[2]
Saranan agar mencontohi kesusasteraan al-Quran barangkali kedengaran remeh bagi sesetengah orang atau kedengaran terlalu biasa bagi sebahagian orang. Barangkali juga tidak begitu dipedulikan oleh sebahagian yang lain. Mungkin juga ada yang menganggap saranan untuk kembali kepada al-Quran adalah kerja pendakwah, mufti, pegawai agama, imam, bilal, ustaz dan ustazah sahaja. Atau mungkin juga ada yang menganggap saranan kembali kepada al-Quran adalah datang daripada penulis lapuk yang ketinggalan zaman sahaja. Makalah ini insya-Allah sedikit sebanyak akan dapat menjawab hujah-hujah rapuh yang tidak benar itu.
Keagungan Al-Quran
“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Al-Waqi’ah: 77 – 79)
Syeikh Manna’ Khalil al-Qathan dalam Mabahith fi ‘Ulum al-Quran menyebutkan, “Dengan keistimewaannya itulah, al-Quran menyelesaikan masalah-masalah kemanusiaan dalam pelbagai segi kehidupan, sama ada yang berhubungkait dengan masalah kejiwaan, jasmani, sosial, ekonomi mahupun politik, dengan penyelesaian yang penuh bijaksana, kerana ia diturunkan oleh yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji. Untuk menjawab setiap masalah yang ada, al-Quran meletakkan dasar-dasar yang dapat dijadikan pedoman oleh manusia yang sesuai dengan segala zaman. Dengan demikian, al-Quran akan selalu sesuai dengan waktu dan tempat. Sebab Islam adalah agama abadi.”
Imam Ibn Taimiyyah menukilkan satu ungkapan yang sangat indah tentang sifat al-Quran dalam karyanya Muqaddimah fi Usul al-Tafsir yang dikutip daripada hadis marfu’ yang dikeluarkan oleh Imam al-Darimi dan Imam al-Tirmizi yang bermaksud, “...keperluan ummah kepada memahami al-Quran amat tinggi kerana ia adalah tali Allah yang kukuh, peringatan yang berhikmah, jalan yang lurus tidak boleh diselewengkan oleh hawa nafsu, tidak dikelirukan oleh pengucapan yang menarik, tidak lapuk (terhapus – pent.) sekalipun banyak al-radd (penentangan), tidak pernah putus keajaiban dalamnya, tidak memberi kenyang (tidak pernah jemu – pent.) ulama yang mengkajinya, sesiapa yang berdalil dengannya dialah yang benar, sesiapa yang beramal dengannya akan memperolehi pahala, sesiapa berhukum dengannya menjadi adil, sesiapa yang menyeru ke jalannya akan diberi petunjuk ke jalan yang lurus, sesiapa yang meninggalkannya dengan angkuh akan dipatahkan oleh Allah, sesiapa yang mencari petunjuk bukan dengannya akan disesatkan oleh Allah.” Menurut Dr. Adnan Zarzur yang menganalisis karya Ibn Taimiyyah tersebut bahawa teks hadis ini adalah elok dan maknanya pula adalah betul.
Kata Sahibus Samahah Datuk Haji Muhammad Noor Ibrahim yang membuat semakan terhadap terjemahan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman yang dikerjakan oleh Syeikh Abdullah Basmeih, “Jika kita ingin – dan sewajibnya ingin – mengembalikan keadaan zaman gemilang kita yang lampau maka perlulah kita kembali kepada al-Quran, kembali memahami, mengkaji dan seterusnya mengamalkan isi-isi pengajarannya yang mulia dan tinggi tarafnya; dan jalan yang wajar untuk mempelajari maksud kandungan al-Quran ialah memahami makna ayat-ayatnya...”
Saranan ini sepatutnya awal-awal lagi disahut oleh golongan penulis yang diberikan pena oleh Allah untuk berdakwah kepada manusia dengan tulisan. Kepada semua penulis muda Islam yang hidupnya dimestikan berpandu kepada al-Quran dan sunah, perlunya masing-masing bertanya kepada diri sendiri – kenapa dalam kehidupan sebagai seorang Islam kita mengambil al-Quran dan sunah sebagai panduan tetapi melupakannya dalam penulisan? Sepatutnya al-Quran juga dijadikan asas utama dalam penulisan bagi setiap penulis Islam seperti mana dia menjadikan al-Quran itu sebagai asas utama dalam kehidupan.
Soalan yang seterusnya yang perlu ditanya dalam setiap diri penulis Islam ialah kenapa kita tidak menjadikan al-Quran sebagai dasar dan asas penulisan itu sekarang? Kenapa perlu menunggu berumur 60 atau 70 tahun baru ingin kembali kepada Islam, kembali kepada al-Quran dan kembali menghasilkan karya-karya yang bernafas Islam? Kenapa kita tidak menggunakan kebijaksanaan dan kehebatan al-Quran itu ke dalam penulisan kita sekarang, ketika kita baru mula menulis dan masih dipanggil penulis muda ini? Mengapa ketika sudah dipanggil penulis veteran baru ingin menghasilkan karya-karya yang mempunyai nilai Islam?
Allahyarham T. Alias Taib misalnya walaupun tidak pernah disebut sebagai penulis karya yang bernafas Islam namun dalam kumpulan puisinya yang kedua berjudul Seberkas Kunci yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1985 turut menghasilkan beberapa buah puisi yang bernafas Islam. Puisi-puisi tersebut ialah seperti ‘Sebuku Kemenyan’, ‘Maghrib’, ‘Bilal’, ‘Sembahyang’, ‘Tuhanku, ‘Antara Kita’, ‘Tuhanku, kalau Bukan’, ‘Tak Berkata-Mu’, ‘Kepada Allah’ dan beberapa yang lain.
Pupuklah kesedaran untuk menghasilkan karya dengan menggunakan asas Islam yang berpandukan al-Quran dan sunah itu sekarang, tanpa perlu menunggu hari tua atau dalam karya-karya akhir sebagai penulis, baru ingin menghasilkan karya Islami. SN A. Samad Said menyebutkan tentang kesedaran ini dalam tulisan beliau yang berjudul Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah[3] bahawa penulis yang sudah tua baru menuju kepada agama adalah penulis yang bermasalah. Kesedaran untuk menuju kepada agama itu sepatutnya sudah datang secara berperingkat-peringkat sebelumnya. Dan alangkah eloknya kesedaran itu datang sekarang, ketika kalian (termasuk saya) masih dipanggil penulis muda.
Dalil Kehebatan dan Keistimewaan Al-Quran
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan memelihara dan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)
“Demi al-Quran yang sangat mulia.” (Surah Qaf: 1)
“Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.” (Surah al-Hasyr: ayat 21)
Tujuan dan Kepentingan Al-Quran
Sebagai penulis, yang dianugerahkan akal yang cerdas dan bijaksana oleh Allah, maka sewajarnya keimanan kita semakin bertambah sesudah membaca ayat-ayat Allah di dalam al-Quran. Janganlah kita termasuk dalam golongan orang munafik yang ayat-ayat al-Quran tidak memberi kesan apa-apa kepada mereka, malah makin menambahkan lagi kekafiran mereka seperti mana yang difirmankan Allah, “Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya sedang mereka berasa gembira. Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surah itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.” (Surah al-Taubah: ayat 124 – 125)
Antara ayat-ayat lain yang Allah ceritakan tentang tujuan dan kepentingan al-Quran ialah seperti:
“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan al-Quran itu ke jalan yang lurus; iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.” (Surah al-Syura: ayat 52 – 53)
“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan.” (Surah al-Maidah: 48)
“Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Sad: 29)
“...dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.” (Al-Nahl: 89)
“Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hambanya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.” (Surah al-Furqan: 1)
“Alif laam raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Allah yang memiliki segala apa yang di langit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang sangat pedih.” (Surah Ibrahim: 1 – 2)
“Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam.” (Surah al-Nahl: 102)
Al-Quran Tidak Membicarakan Hal yang Tidak Penting, Tiada Faedah dan Remeh-temeh
Al-Quran sebagai sebuah kitab agung orang Islam dan panduan yang paling benar kepada umat manusia tidak memperihalkan di dalamnya hal remeh-temeh yang tidak penting dan tidak memberi manfaat kepada umat manusia. Kalaulah al-Quran itu membuang masa berbicara benda-benda remeh yang tidak diperlukan manusia, barangkali ia akan menjadi lebih tebal daripada kitab Musnad Imam Ahmad yang tebalnya mencecah sampai 24 jilid, lebih tebal daripada kitab Al-Imam karya Imam Ibn Daqiq al-‘Ied yang dikatakan sampai mencecah 15 jilid, lebih tebal daripada kitab Fathul Bari karangan Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang mengambil masa 25 tahun untuk disiapkan dan lebih tebal daripada sekian banyak kitab besar yang dikarang oleh para ulama. Namun Al-Quran hanya sekitar 604 muka surat sahaja tetapi ianya telah mencakupi pelbagai disiplin ilmu; daripada ekonomi, politik, sejarah, astronomi, muamalat, kajian samudera, sosiologi, sastera hinggalah kepada ilmu penyiasatan dan undang-undang – daripada ilmu pengurusan rumah tangga hinggalah kepada hal ehwal pemerintahan negara, semuanya ada.
Antara contoh hal yang tidak penting itu ialah seperti apa yang dinukilkan oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam Muqaddimah fi Usul al-Tafsir, “Apa yang perlu diketahui oleh seorang Muslim ialah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. meletakkan kebenaran bersama dalil-dalilnya. Contoh daripada apa yang tidak ada guna dan tidak ada dalil yang sahih baginya: Perbezaan mereka mengenai “warna anjing yang dimiliki oleh ashab al-kahfi”, “bahagian anggota badan yang dipukul oleh Musa dengan menggunakan daging lembu”, “ukuran besar perahu [Nabi] Nuh dan ia terbuat daripada bentuk kayu yang bagaimana”, “nama kanak-kanak yang dibunuh oleh Khidir”, dan seumpamanya. Perkara-perkara seperti ini tidaklah dapat diketahui melainkan daripada jalan naql, sama ada daripada Rasulullah s.a.w. seperti nama sahabat Musa iaitu Khidir, dan ini adalah kebenarannya dimaklumi adanya.
Manakala, berita yang bukan seperti itu (naql yang sahih, pent.), lebih-lebih lagi jika berita itu datangnya daripada Ahli Kitab – seperti berita-berita yang dibawakan oleh Ka’ab, Wahab, Muhammad bin Ishaq, dan ramai lagi yang mengambil daripada Ahli Kitab, maka berita semacam ini tidak boleh dipercayai dan tidak juga harus dibohongi melainkan jika adanya hujah sebagaimana yang sabit dalam Hadis Nabi s.a.w. yang sahih. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jika ada ahli kitab yang memberikan berita kepadamu, maka janganlah kamu mempercayai mereka dan jangan pula kamu bohongi mereka, sebab boleh jadi jika mereka benar padahal kamu tidak mempercayainya. Dan boleh jadi jika mereka berbohong dengan segala kebatilan, tentu kamu mempercayai mereka.” (Diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir, dan perawi-perawinya thiqah [dipercayai])
Manakala dalam halaman yang lain ketika membicarakan tentang riwayat Israiliyyat yang tidak diketahui kebenaran dan juga kebohongannya, Imam Ibn Taimiyyah menukilkan lagi, “Kebanyakannya cerita-cerita itu tidak ada manfaat yang dapat diambil mengenai perkara-perkara agama. Oleh sebab itu, ulama-ulama ahli kitab bertikai dalam perkara-perkara seperti ini (agama), manakala para mufassir pun berselisih mengenai riwayat-riwayat berkenaan disebabkan oleh perselisihan sumbernya, seperti perselisihan mereka mengenai nama ashab al-kahfi dan “warna anjing mereka”. Ini termasuklah mengenai jumlah bilangan mereka, terbuat daripada kayu apakah tongkat Nabi Musa, nama-nama burung yang telah dihidupkan oleh Allah bagi Nabi Ibrahim, penentuan anggota badan lembu yang dijadikan pemukul untuk memukul orang-orang yang terbunuh, bentuk pokok yang di sebaliknya Allah berbicara kepada hamba-Nya Nabi Musa, dan seterusnya yang tidak diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran, sebab ia tidak mempunyai faedah bagi mukallaf (yang dibebani perintah dan larangan) dengan menentukan secara terperinci perkara-perkara bukan asas berkenaan, sama ada dalam agama dan dunia mereka.”
Jadi sebagai penulis, apatah lagi penulis yang masih muda dan segar mindanya sepatutnya perlu menulis hanya yang berfaedah untuk agama dan masyarakatnya. Kepada sekalian penulis muda, iktibar daripada kebijaksanaan al-Quran ini – maka tulislah sesuatu yang penting dan bermanfaat sahaja. Elakkanlah daripada menulis dan berbicara sesuatu yang tidak bermanfaat walau hanya mencoret kata-kata dalam ruangan surat pembaca dalam mana-mana majalah atau akhbar. Janganlah mengotorkan karya-karya kalian dengan sesuatu yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada manusia dan membuang masa pula mereka membacanya. Janganlah memalukan diri sendiri dengan hanya menulis sesuatu yang sia-sia. Belajarlah menulis sesuatu yang penting dan berfaedah sahaja.
Gaya Pengulangan Al-Quran
Setelah kita memperkatakan tentang sifat al-Quran yang tidak membicarakan hal-hal yang tidak penting, mungkin ada yang hairan dan berasa pelik apabila menemui ayat-ayat al-Quran yang diulang beberapa kali atau juga berkali-kali di dalam al-Quran. Perulangan yang paling mudah dikesan dan pastinya diketahui umum ialah yang terkandung di dalam surah al-Rahman bagaimana Allah mengulang-ulang kalimah ‘Fabi-ayyi-aa-laaaa-irobbikumaa-tukazzibaaaan’ yang bermaksud, “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan,” sebanyak 30 kali secara selang-seli dengan ayat-ayat yang lain.
Di dalam surah ini Allah bercerita tentang pelbagai nikmat yang ada di atas dunia yang diberikan kepada manusia dan kemudian Allah bercerita sedikit tentang azab seksa api neraka. Dalam surah ini juga kemudiannya Allah menceritakan pelbagai nikmat syurga yang akan diberikan kepada manusia yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya. Maka tidak syak lagi tentang kepentingan ayat yang sengaja diulang itu dan jelaslah kepada kita Allah mempunyai alasan yang kukuh untuk mengulang ayat tersebut sampai 30 kali hanya dalam satu surah yang tidaklah begitu panjang.
Manakala tentang kisah yang terkandung di dalam al-Quran pula, ada yang disebut hanya sekali dan ada juga yang diulang beberapa kali. Misalnya kisah Nabi Nuh a.s. yang disebutkan dalam beberapa surah iaitu dalam surah Nuh serta dalam Saaffaat, al-Mu’minun dan dalam surah Hud. Tentang kisah yang tidak berulang dan diulang-ulang ini, Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin menyebutkan, “Terdapat kisah al-Quran yang disebut sekali sahaja seperti kisah Luqman dan Ashab al-Kahfi. Ada pula kisah yang berulang mengikut keperluan dan maslahah (manfaat). Kisah-kisah ini diulang dalam olahan yang berbeza-beza, ada yang panjang, pendek, keras, lembut dan menerangkan sudut-sudut yang tidak disentuh pada tempat lain. Di antara hikmah pengulangan kisah ini ialah:
1 – Menerangkan betapa pentingnya kisah itu kerana pengulangannya menunjukkan ianya diberi kepentingan.
2 – Menekankan kisah itu supaya kekal dalam sanubari manusia.
3 – Mengambil kira zaman dan keadaan para pendengar. Di dalam surah-surah Mekah, kebiasaannya kisah diolah dengan ringkas dan tegas, berbeza dengan kisah dalam surah-surah Madinah.
4 – Menjelaskan kesusasteraan al-Quran yang dapat menonjolkan kisah-kisah ini dalam dua bentuk yang lain mengikut keadaan.
5 – Menonjolkan ketepatan dan kebenaran al-Quran serta pengesahan bahawa ianya datang daripada Allah Ta‘ala apabila kisah-kisah ini berulang-ulang tanpa percanggahan.”
Gaya pengulangan ini seperti yang kita semua maklum sudah banyak digunakan oleh para penulis kita dalam karya mereka. Tentu saja yang paling terkenal ialah gaya pengulangan yang digunakan SN Shahnon Ahmad dalan karya-karyanya. Ternyata gaya pengulangan yang dimulakan oleh al-Quran memberikan faedah yang sangat banyak kepada para pembaca jika turut digunakan dalam karya penulisan kita.
Iktibar Daripada Perumpamaan al-Quran
Dalam perumpamaannya, al-Quran juga menggunakan binatang sebagai objek perumpamaan. Sebahagian daripada perumpamaan itu antaranya ialah seperti anjing, lalat, labah-labah dan keldai. Kita perhatikan setiap satu perumpamaan itu:
(1) Dalam surah al-A’raf ayat 175 – 176, Allah membuat perumpamaan dengan anjing. Firman Allah yang bermaksud, “Dan bacakanalah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. Kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah ia dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustaka ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”
(2) Dalam surah al-Hajj ayat 73, Allah membuat perumpamaan dengan lalat. Firman Allah yang bermaksud, “Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”
(3) Dalam surah al-‘Ankabut ayat 41, Allah membuat perumpamaan dengan labah-labah. Firman Allah yang bermaksud, “Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongan) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”
Sebagai contoh, perumpamaan al-Quran ini telah digunakan oleh seorang penulis muda ke dalam puisi beliau. Azman Hussin turut menggunakan perumpamaan labah-labah dalam puisinya yang berjudulSajak Labah-labah. Perhatikan keseluruhan puisi tersebut:
Hanya belalang,
kupu-kupu,
pepatung,
kelkatu,
lalat,
nyamuk
atau serangga halus lain
yang terjaring pada benang perangkapmu.
Tidak burung gagak
atau kelelawar buta.
Azman yang tidak pernah disebut sebagai penulis karya-karya yang bernafas Islam pun turut menghasilkan puisi berpandukan ayat al-Quran. Beliau juga menulis dua buah puisi lain berjudul Syair Asy Syu’ara dan Penyair yang diasaskan daripada surah Asy-Syu‘ara yang Allah tujukan peringatan kepada para penyair. Dan Azman juga dengan puisi Syair Asy Syu’ara ini menujukan pesanannya kepada intelektual, sasterawan, seniman dan lain-lain.
(4) Dalam surah al-Jumu’ah ayat 5, Allah membuat perumpamaan dengan keldai. Firman Allah yang bermaksud, “(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).”
Contoh Lain Kebijaksanaan Al-Quran
Sekadar satu contoh tambahan daripada sekian banyak kehebatan dan kebijaksanaan al-Quran itu ialah kesimpulan hukum yang dibuat oleh para ulama bagi menetapkan tempoh minima wanita hamil yang merupakan gabungan daripada dua ayat al-Quran. Betapa banyak ilmu yang dapat dikutip di dalam al-Quran dan betapa banyak hukum yang telah diputuskan oleh para ulama menggunakan al-Quran. Dengan menggunakan kecerdasan akal yang dianugerahkan Allah, para ulama Islam telah memutuskan antaranya penentuan tempoh perempuan mengandung ini.
Syeikh Muhammad Shalih dalam syarahnya kepada kitab Al-Hilyah karangan Syeikh Bakr Abu Zaid mencatatkan kaedah penentuan yang ditetapkan daripada dalil al-Quran itu iaitu daripada ayat 15 surah al-Ahqaf dan juga ayat 14 surah Luqman. Dua ayat tersebut bermaksud:
“...sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan...” (Surah al-Ahqaaf: ayat 15)
“...dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun...” (Surah Luqman: ayat 14)
Tiga puluh bulan sama dengan dua tahun enam bulan, jadi untuk mengetahui tempoh hamil sahaja perlulah tempoh 30 bulan dalam ayat pertama itu ditolak dengan tempoh menceraikan susu selama dua tahun dalam ayat kedua, maka akan keluarlah tempoh hamil sahaja. Maka daripada gabungan dua ayat inilah para ulama dapat menyimpulkan hukum-hukum yang berkaitan dengan tempoh hamil kaum wanita.
Inilah antara sebahagian kecil daripada kebijaksanaan al-Quran yang dapat saya kemukakan dalam makalah yang ringkas ini untuk sama-sama kita hayati sebagai langkah awal menyahut saranan kembali kepada al-Quran. Saranan yang sepatutnya sudah lama disambut oleh setiap penulis Islam, penulis yang sejak kecil lagi sudah mengakui dengan yakin bahawa Allah itu Tuhannya – yang tidak ada Tuhan lain selain Dia dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh Allah. Mana mungkin orang yang melafazkan pengakuan ini menolak al-Quran dan sunah sebagai panduan dalam semua aspek kehidupannya termasuklah juga dalam aspek penulisan. Ini bermakna kewajipan seorang penulis Islam menjadikan al-Quran dan sunah sebagai sumber asas dalam penulisannya adalah sama seperti mana dia wajib berpandukan kepada al-Quran dan sunah dalam kehidupannya. Setelah meneliti keagungan ayat-ayat Allah dalam al-Quran, kita pasti akan menemukan sekian banyak hikmah kebijaksanaan dan juga pelbagai iktibar yang memberi faedah yang sangat besar kepada manusia.
Sekian banyak lagi ilmu, kebijaksanaan, hikmah dan segala macam pengetahuan yang dapat dikutip dan disimpulkan daripada keagungan kalamullah. Penulis adalah golongan yang termasuk dalam kalangan kaum pemikir dan cendekiawan. Maka penulis adalah antara golongan cendekiawan yang bertanggungjawab menyampaikan pesan al-Quran kepada masyarakat. Tegas Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin dalam Al-Usul fi al-Tafsir tentang hal ini, “Para cendekiawan wajib menjelaskan al-Quran kepada manusia sama ada dengan penulisan atau percakapan berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang bermaksud, “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu) hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia dan jangan kamu menyembunyikannya.” Penerangan al-Quran kepada manusia merangkumi penerangan lafaz dan maksudnya. Dengan ini, tafsir al-Quran adalah salah satu daripada perkara yang Allah Ta‘ala ambil pengakuan para cendekiawan supaya menjelaskannya.”
Bukankah penulis itu orang yang cerdik, bijak pandai dan intelektual yang sepatutnya menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran – maka, saranan agar kembali kepada al-Quran dan berdakwah dengan menggunakan kebenaran kalamullah itu sepatutnya digalas di bahu setiap penulis Islam lebih-lebih lagi penulis muda.
Sebagai ingatan akhir, sama-samalah kita menghayati penegasan Allah dan ingatan-Nya ini yang bermaksud, “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” (Surah Taha: ayat 123 – 126)
Nota Hujung[1] Saya menyebutkan nama sebahagian daripada penulis muda dan karya mereka yang bernafas Islam itu dalam tulisan saya berjudul “Menggempur sastera dengan al-Quran” dalam Siasah, edisi 17 – 23 Ogos 2008.[2] Jawapan saya lebih lanjut tentang karya tulis bernafas Islam ini, sila rujuk wawancara oleh Mohd Dahri Zakaria berjudul “Saya Bukan Sufi” dalam www.esastera.com/profil, 2006.[3] Tulisan SN A. Samad Said tersebut disiarkan dalam dua siri iaitu “Sasterawan Negara perlu jadi pelopor jujur: Idealisme anak seni” dalam Mingguan Malaysia, 19 Mac 2000 dan sambungannya berjudul “Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah” dalam Utusan Malaysia, 22 Mac 2000.
Rujukan
A. Samad Said. 2000. Suara seniman wajar bijaksana, ranum dan indah. Utusan
Malaysia. 22 Mac.
Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an.
Kuala Lumpur: DARULFIKIR.
Al-Qathan, Manna’ Khalil. 2006. Cara Mudah Memahami Al-Quran (Mabahith fi ‘Ulum
al-Quran). Kuala Lumpur: Pustaka Jiwa.
Al-‘Utsaimin, Muhammad bin Shalih. 2005. Pengenalan Ringkas kepada Ilmu Ushul Al-
Tafsir (Al-Ushul fi al-Tafsir). Sunt. Hafiz Firdaus Abdullah. Johor Bahru: Perniagaan
Jahabersa.
____________. 2005. Syarah Adab & Manfaat Menuntut Ilmu (Syarh Hilyah Thaalibil
‘Ilmi). Jakarta: Pustaka Imam Asy-Syafi’i.
Azman Hussin. 2001. Candu. Pasir Puteh: Pustaka Pemikir.
Ibn Taimiyyah, Abu ‘Abbas Taqiy al-Din Ahmad ibn ‘Abd al-Halim ibn ‘Abd al-Salam
al-Harrani. 2005. Pengantar Kepada Usul al-Tafsir (Muqaddimah fi Usul al-Tafsir).
Sunt. Adnan Zarzur. Petaling Jaya: Intel MULTIMEDIA PUBLICATION.
T. Alias Taib. 1985. Seberkas Kunci. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
*Kertas kerja ini telah dibentangkan semasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 22 - 24 Mei 2009 yang lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan