Cadangan pinda Perlembagaan Pas:Tuan Ibrahim Tuan Man

Oh! Krai Utara

Share
SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan pindaan Perlembagaan Parti perlu dilakukan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin tidak diambil dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat. 


Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana ia akan dilihat tidak adil terutama apabila Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang juga AJK Pusat membicarakan AJK Pusat sendiri yang turut memegang jawatan. 

“Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. 

“Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyakkarenah dalaman,” katanya dalam blognya. 

Beliau turut melahirkan kekecewaan dengan tindakan pemimpin Pas yang menggunakan saluran media bagi melahirkan ketidakpuashatian terhadap keputusan penghakiman jawatankuasa itu terhadap dua pemimpin Pas Selangor iaitu Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali dan Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad. 

Katanya, andaiannya ternyata meleset apabila UMNO yang dijangka akan memainkan isu tersebut bagi melemahkan pengaruh Pas khususnya di Selangor tidak berbuat demikian, sebaliknya beliau diserang dan dikritik hebat oleh ahli Pas. 

“Kenapa mereka tidak berjumpa dan berbincang terlebih dahulu, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang Jawatankuasa Disiplin yang mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti?. 

“Apakah keuntungannya bagi parti dengan tindakan tersebut? Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli Pas atau penyokong Pas yang berkemungkinan simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hasan Ali,” katanya. 

Jumaat lalu, Jawatankuasa Disiplin Pas memutuskan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam digantung daripada jawatannya selama enam bulan manakala Dr Hasan hanya diberi amaran. 

Exco Pemuda Pas, Abdullah Karim berpendapat keputusan tersebut adalah berat sebelah, tidak boleh diterima dan menghantar isyarat yang salah terhadap rakyat Malaysia. 

Abdullah yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pahang berkata, Khalid yang sepatutnya dianggap hero mempertahankan Pakatan Rakyat telah diheret dan menjadi mangsa dendam kesumat anasir anti Pakatan dalam Pas 

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden Pas turut menyifatkan kenyataan dari Abdullah itu gai melampau kerana sempat mengkritik Jawatankuasa Disiplin Parti sebelum melepaskan kesemua jawatannya termasuk di peringkat negeri Pahang. 

“Apa yang mendukacitakan ialah beliau mempertikai prosedur laporan disiplin parti yang telah diamalkan sejak awal penubuhan Pas lagi sedangkan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tetapi mengapa sanggup mengeluarkan kenyataan menyerang prosedur tersebut. 

“Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta, hasil soal siasat dan penghujahan untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan,” katanya. sumber www.sinarharian.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...