Ahli Parlimen Rantau Panjang agih anak ayam bantu tingkat pendapatan

Oh! Krai Utara

Share
BAROH PIAL – Sumbangan anak ayam oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof kepada 20 peserta di Kampung Baroh Pial memberikan nafas baru kepada peserta untuk menambahkan pendapatan mereka. 


Siti Zailah berkata, penyerahan anak ayam ini adalah projek perintis yang dimulakan olehnya bagi membantu golongan ibu tunggal dan kurang berkemampuan untuk meningkatkan pendapatan. 

Menurutnya, ini adalah projek ekonomi wanita untuk Parlimen Rantau Panjang dan bermula di kawasan Baroh Pial. 

“Ini adalah projek perintis kerana melihat binatang peliharaan ayam ini lebih mudah berbanding binatang lain. 

“Mereka yang terpilih ini dapat meneruskan aktiviti pekerjaan mereka iaitu menoreh getah dan pada masa yang sama dapat menambahkan pendapatan,” katanya ketika menyampaikan anak ayam tersebut di Madrasah Haji Daud di sini, semalam. 

Siti Zailah berkata, projek ini juga mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri untuk merealisasikan projek tersebut dengan setiap peserta dapat mendapat 100 ekor anak ayam. 

“Kita melihat pemeliharaan anak ayam ini tidak memerlukan modal yang banyak dan percaya ia dapat membantu peserta. 

“Kita mendapat tahu, tempoh matang anak ayam ini adalah dalam masa tiga bulan dan selepas itu, peserta dapat menjual separuh ayam tersebut untuk keuntungan dan separuh untuk baka,”katanya. 

Beliau berkata, pengiraan awal mendapati, peserta akan memperolehi RM500 setiap bulan dengan memelihara anak ayam ini dan percaya dengan usaha yang berterusan, sudah tentu dapat mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik. 

Menurutnya, sekiranya peserta mempunyai masalah dari segi pemasaran nanti, pihaknya akan membantu perkara tersebut. 

Siti Zailah berkata, projek ini juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam memberi pandangan dalam projek ini. 

“Kita akan meneliti keputusan kepada projek ini dan sekiranya pada peringkat ini berjaya, sudah tentu akan meneruskan ke kawasan lain,” katanya. 

Salah seorang dari peserta, Che Jah Haron, 62, yang diwakili anaknya, Rozi Che Soh, 45, ketika menerima anak ayam tersebut berkata, dengan pendapatan menoreh getah tidak mampu menampung kehidupan mereka. 

Menurutnya, dengan adanya sumbangan anak ayam ini, dapat menambahkan pendapatan kepada yang lebi baik. 

“Kita berterima kasih dengan sumbangan ini dan akan berusaha untuk memastikan anak ayam yang diberikan dapat memberikan pulangan yang berpatutan kepada kami sekeluarga,” katanya. 

Sementara itu, Che Jah Che Nik, 34, berkata, pengalaman menjaga itik dan angsa dapat digunakan untuk menjaga anak ayam bagi menjamin pendapatan yang lebih. 

Menurutnya, selain menoreh getah, dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan keluarganya semua menoreh getah untuk mendapatkan pendapatan seharian. 

“Apabila adanya sumbangan anak ayam ini, saya percaya dapat mengubah kehidupan kepada lebih selesa berbanding sebelum ini. 

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada ahli parlimen yang prihatin dengan nasib kita,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...