Gejala sosial ‘Katakan Tak Nak Kepada Pergaulan Bebas, Zina dan Arak!’

Oh! Krai Utara

Share


KOK LANAS:– Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melancarkan kempen 'Katakan Tak Nak Kepada Pergaulan Bebas, Zina dan Arak!' melalui Lajnah Dakwah & Pembelaan Islam di Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP), di sini.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, Kempen ini mensasarkan golongan muda dan remaja bagi memberi kesedaran kepada mereka mengenai bahaya pergaulan bebas, zina dan arak.

"Amalan tersebut bukan sahaja membawa keburukan dan kebinasaan dalam masyarakat, akan tetapi akibat dosa yang ditanggung akan mendapat azab yang berkekalan di akhirat sekiranya mereka tidak bertaubat,'' katanya ketika merasmikan kempen tersebut.

Turut hadir sama ialah wakil DPPP, Wan Sukairi Wan Abdullah dan ramai lagi.

Abdul Latiff berkata, peringkat awal kempen itu dilancarkan dalam bentuk edaran pelekat kenderaan dalam dua saiz yang tertulis 'Katakan Tak Nak Kepada Pergaulan Bebas, Zina dan Arak!' dan edaran risalah 'Zina meruntuhkan Institusi Kekeluargaan'.

Beliau berkata, turut tertera ialah petikan maksud ayat al-Quran supaya menjauhi zina, statistik Jabatan Pendaftaran Negara mengenai pendaftaran anak tanpa bapa dan statistik anak luar nikah menurut negeri-negeri di Malaysia.

Menurutnya, kempen tersebut juga bertujuan memberi kefahaman mengenai cara hidup Islam yang sebenar kepada golongan muda supaya mereka betul-betul menjadi rakyat yang faham dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka seharian di samping tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan negara.

Seramai lebih 100 orang wakil Dewan Pemuda setiap kawasan termasuk Jeli dan Gua Musang turut hadir dalam program ini.

Kesempatan ini juga turut diambil oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang untuk melancarkan derma kilat kepada mangsa kebakaran rumah kedai di Pulai Chondong pada Sabtu lalu dan mereka berjaya memungut sumbangan derma sebanyak RM596.10.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...