82 ahli Pas masuk UMNO, benarkah ini, kalau benar mengapa?

Oh! Krai Utara

Share


KUALA KRAI - Seramai 82 ahli Pas cawangan Bukit Sireh, dekat sini, bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO, kelmarin. 

Kesemua borang keahlian menyertai UMNO diserahkan wakil ahli terbabit, Roslan Che Lah, 49, kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Roslan atau lebih dikenali dengan nama panggilan Che Man berkata, tindakan keluar parti itu dibuat selepas penduduk terbabit kecewa apabila melihat tiada sebarang perubahan dilakukan Pas di kampung mereka. 

Menurutnya, isu paling ketara adalah masalah pembangunan apabila tidak ada kemudahan asas seperti sistem perparitan sempurna dan kemudahan wakaf dibina di kampung itu. 

“Antara isu paling utama adalah sistem perparitan dan pembentung yang mana sudah 12 tahun saya mohon daripada pemimpin Pas di kawasan ini untuk mendapatkan kemudahan tersebut tetapi sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan diambil. 

“Permohonan ini sepatutnya diberikan perhatian kerana masalah tersebut menyebabkan penduduk terpaksa berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat sehingga menyebabkan kerugian harta benda,” katanya yang sudah menjadi ahli Pas cawangan Bukit Sireh Tengah sejak berumur 18 tahun. 

Roslan berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Mustapa pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bedal, dekat sini, kelmarin. 

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Azizzuddin Hussein dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Tuan Aziz Tuan Mat. 

Seorang lagi ahli Pas cawangan sama, Abdullah Jaafar, 56, pula mendakwa, dia mengambil keputusan untuk keluar daripada Pas kerana kecewa dengan ‘penyelewengan’ yang dilakukan pucuk pimpinan parti itu di kawasan ini. 

Dakwanya, antara ‘penyelewengan’ yang dilakukan ialah pemberian bantuan banjir apabila hanya ‘orang kuat’ parti itu sahaja yang menerimanya. 

“Saya sendiri yang hampir bertetak dan ada sampai tak balik ke rumah semata-mata bekerja untuk parti (Pas) pun tidak pernah terima bantuan (banjir) ini kerana mereka hanya mementingkan ‘puak’ mereka sahaja,” dakwa Abdullah. 

Sementara itu, Mustapa berkata, majlis ‘selamat tinggal Pas’ di Kuala Krai itu adalah yang ketiga dalam tempoh tiga bulan selepas Machang dan Pasir Mas, dan beliau harap akan ada lebih banyak lagi program seumpama itu selepas ini. 

Menurutnya, beliau bersyukur kerana ahli Pas sudah sedar bahawa berlaku banyak penyelewengan akidah sejak kebelakangan ini termasuk pandangan dan fatwa diberikan pemimpin parti itu yang menyebabkan rakyat Kelantan berasa tidak selesa. 

“Pandangan diberikan pemimpin Pas sama ada isu penggunaan kalimah Allah dan bulan Rabiul Awal (Maulidur Rasul) tidak ada fadilat, ini semua tidak menyenangkan ramai penyokong Pas,” kata Mustapa. 

Beliau juga berharap lebih ramai ahli Pas akan berfikir dengan menyertai perjuangan UMNO dan Barisan Nasional demi perpaduan Melayu, kekuatan Islam dan perpaduan rakyat di bawah konsep 1Malaysia.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...