Curi kabel punca masalah talian tetap,1000 penduduk terjejas

Oh! Krai Utara

Share
Curi kabel punca masalah talian tetap



KUALA KRAI -Kejadian curi kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) yang berleluasa di sepanjang jalan Bukit Sireh-Kuala Nal dekat sini, menyebabkan perkhidmatan talian tetap di beberapa kampung di laluan itu tergendala sejak dua tahun lalu. 

Antara kawasan terjejas teruk akibat masalah itu ialah kampung terakhir di laluan itu, Kuala Nal yang mempunyai kira-kira 1,000 penduduk dan begitu memerlukan perkhidmatan talian tetap terutama bagi kegunaan klinik kesihatan dan sekolah di situ. 

Penyelia Pembangunan Mukim Kuala Nal, Kamaradden Mat Piah berkata, walaupun pengguna telefon rumah dan pelanggan internet turut berdepan kesukaran akibat masalah itu, perkhidmatan talian tetap lebih mustahak bagi kemudahan klinik dan sekolah di kampung berkenaan. 

Justeru katanya, dia berharap projek pemasangan kabel bawah tanah sejauh dua kilometer yang dilaksanakan TM bagi kegunaan Pusat Komuniti Jalur Lebar di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bedal dekat sini, dapat diteruskan sehingga Kuala Nal. 

“Kami berharap sangat TM dapat sambung lagi projek kabel bawah tanah ini sehingga ke Kuala Nal, sekali gus dapat memberi manfaat kepada penduduk Bedal, Bukit Sireh dan beberapa kampung lain yang berdepan masalah sama. 

“Jarak untuk menyambung kebal bawah tanah antara Pusat Komuniti Jalur Lebar sehingga Kampung Kuala Nal hanya kira-kira enam kilometer,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam. 

Antara lokasi paling kerap berlaku kes curi kabel di laluan itu ialah berhampiran simpang masuk ke Bukit Sireh dari Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dan kawasan puncak Bukit Genting di Kampung Bedal. 

Sementara itu, Guru Besar SK Kuala Nal, Fauziyah Ismail berkata, masalah tiada talian tetap menyebabkan pihak sekolah terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM200 sebulan bil untuk mendapatkan kemudahan internet di sekolah menggunakan perkhidmatan wayarles. 

Menurutnya, sudah dua kali pihaknya memohon kepada agensi berkenaan supaya perkhidmatan talian tetap di sekolah itu dibaik pulih dan akan mengemukakan permohonan ketiga melalui Per-satuan Ibu Bapa dan Guru dalam masa terdekat. 

“Pelajar sekolah ini masih bernasib baik kerana makmal komputer dapat digunakan sebab ada parabola tapi untuk kemudahan internet sekolah, kita terpaksa guna (wayarles) CDMA dan sekolah kena bayar sendiri kos walaupun mahal. 

“Sebab itu, perkhidmatan talian tetap di sini memang penting dan pihak sekolah menyokong permintaan PPM Kuala Nal (Kamaradden) supaya kabel bawah tanah dipasang terus sampai ke kampung ini,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...