Syarikat China Jumpa Tuk Guru Bincang Labur Di Kelantan RM20 bilion

Oh! Krai Utara

Share
RM20 bilion pelaburan bangunkan Kelantan

KOTA BHARU - Seramai lapan ahli rombongan syarikat swasta dari China mengadakan pertemuan khas dengan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membincangkan pelaburan sebanyak RM20 bilion untuk membangunkan negeri ini.

Rakan kerjasama tempatan mereka, Datuk Seri Ibrahim Ismail berkata, dalam pertemuan itu, pelabur bersetuju untuk menampung mana-mana sektor yang memerlukan peruntukan besar terutamanya bidang pertanian, pelancongan, pembangunan dan perkilangan.

”Buat masa sekarang, kita memfokuskan kepada mana-mana projek mega yang terbengkalai dahulu kerana matlamat utama kita adalah untuk membawa masuk sumber kewangan yang kukuh bagi menampung keperluan pembangunan negeri ini.

”Dalam masa sama kita juga ingin membantu pihak kerajaan dalam memberi kemudahan terbaik kepada rakyat Kelantan dengan pelaksanaan projek-projek berkaitan,” katanya.

Antara syarikat China yang terlibat adalah China Railway Construction Corporation (CRCC), China Metallurgical Group Corporation (MCC), Zi Jin Mining Group Company Limited, Shanghai Waigaoqiao Shipbuilding Corporation, Xinxing Ductile Iron Pipes Group dan beberapa lagi syarikat lain yang diketuai wakil syarikat China Ltd, Boon Szi.

Ibrahim berkata, dengan kepakaran yang ada pada semua syarikat berkenaan, adalah peluang terbaik kepada Kerajaan Negeri untuk membangunkan semula mana-mana sektor berkaitan melalui pelaburan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Internasional Ship Industry Sdn Bhd berkata, rakan kongsinya yakin dengan sikap keterbukaan pemimpin Kerajaan Negeri ini bagi membuka ruang kepada pelaburan luar itu demi kebaikan semua pihak terutamanya rakyat Kelantan sendiri.

”Kita berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan kerana sudi mendengar sendiri taklimat yang ingin disampaikan berkaitan pelaburan di negeri ini dan berharap kerjasama ini akan membuka lembaran baru kepada pembangunan Negeri Kelantan kelak,” katanya.

Beliau berkata, antara projek terbengkalai yang berada dalam cadangan dan rundingan adalah pembangunan Bandar Baru Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang, Tunjung serta sektor pelancongan yang belum diterokai.

”Dalam masa sama juga syarikat berkaitan akan membawa teknologi berkaitan tanaman padi empat kali setahun dengan memperkenalkan teknologi terbaru mengelak serangan penyakit,”katanya.

Hadir sama pada taklimat berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknogi, Che Abdullah Md Nawi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Datuk Anuar Tan Abdullah. - Sinar Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...