Penahanan Dr Asri: Ada Udang Di Sebalik Mee Segera, Datuk Dasuki

Oh! Krai Utara

Share
Penahanan Dr Asri ada ‘agenda tersembunyi’ - Dasuki

PETALING JAYA: Bekas Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dasuki Ahmad, menyifatkan penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Mohd Asri Zainul Abidin sebagai ‘agenda tersembunyi’ pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dalam isu tersebut.
"Tangkapan yang dibuat ini semacam ada ‘agenda tersembunyi’ bagi kepentingan peribadi dan kepentingan kelompok tertentu kerana ianya dilakukan ketika Perdana Menteri bercadang melantiknya sebagai Yang DiPertua YADIM.
"Apakah gerakan dakwah Jemaah Tabligh, pendakwah-pendakwah bebas yang bergerak dari masjid ke masjid mempunyai tauliah?
"Apakah penceramah-penceramah agama yang bergerak dari rumah ke rumah, meletakkan semua aktiviti agama yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak betul belaka itu mempunyai tauliah?," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online di sini pada Isnin.
Menurut Dasuki, beliau merasakan penahanan yang dibuat terhadap bekas Mufti Perlis itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak bijaksana.
"Jika ada undang-undang dan peraturan pun rasanya tokoh seperti Dr Asri itu bukanlah sasarannya," katanya.
Jelasnya, jika ada laporan daripada orang ramai terhadap salah laku agama yang dibuat, ia perlu disiasat terlebih dahulu.
"Siasatan secara terperinci perlu dijalankan dengan mengambilkira kepentingan umum.
"Kita juga perlu melihat siapakah pengadunya dan apakah tuduhan yang dibuat; dan jika dikatakan menyeleweng dan menyalahi hukum, dari aspek mana dia telah melakukan penyelewengan itu," katanya.
Sehubungan itu, Dasuki berkata, jika ada bukti yang sah pengadu yang berkenaan perlu bermuzakarah dan bersama-sama terlibat dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Tegasnya, sekiranya tuduhan itu benar, apakah hukum bagi 100 orang termasuk tuan rumah serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ulu Kelang, Shaari Sungib yang hadir mendengar ceramah dan syarahannya.
"Mereka ini juga seharusnya ditahan, sekurang-kurangnya dua wakil rakyat tersebut boleh menjadi saksi tentang 'sesatnya' ajaran Dr Asri itu," katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Dasuki berkata, tuduhan ke atas seorang ahli ilmuan itu adalah amat berat dan amat serius, bahkan memalukan umat Islam.
"Apakah ada bukti bertulis atau berekod? Jika ada, pernahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat atau bermuzakarah dengannya kerana beliau bukanlah seperti guru-guru ajaran sesat seperti Ayah Pin, Imam Kahar (Rasul Melayu), Subud, Ahmad Laksamana dan lain-lain yang tidak diketahui ipunca asal usul ajarannya dan sebagainya.
"Pada hemat saya, Dr Asri sebagai orang lepasan graduan sarjana tinggi dalam bidang hadis boleh dibawa ke meja perundingan," katanya.
Beliau berkata, jika dilihat kepada rentetan peristiwa yang berlaku, seolah-olah ada usaha untuk menghalang Perdana Menteri melantiknya ke jawatan Yang DiPertua YADIM itu.
"Yang paling penting sekali, apakah hubungan Persatuan Peguan Syarie dengan YADIM sehingga terdorong mereka membuat Memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agung sedangkan YADIM adalah dibawah tanggungjawab Perdana Menteri," katanya.
Semalam, Dr Asri ditahan pada pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika ketika Dr Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.
Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.
Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.
Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.
Sementara itu, Dr Asri yang ditahan oleh JAIS tengah malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.
Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...