Philip Garrido :: Guna Tuhan untuk seks

Oh! Krai Utara

Share

Guna Tuhan untuk seks

PELBAGAI gelaran dilemparkan kepada Philip Garrido saat mangsa culik hampir dua dekad, Jaycee Lee Dugard yang kini berusia 29 tahun, ditemui semula baru-baru ini. Berita awal penemuan gadis malang di California, Amerika Syarikat (AS) itu pantas tersebar di ruang maya, sekali gus mengundang 1,001 emosi dalam kalangan pengguna Internet.

Marah, sedih, kecewa dan simpati. Kombinasi perasaan itu, bagaimanapun gagal mengubah fakta sejarah pahit tersebut, biarpun relevan dengan situasi ‘pemangsa’ dan mangsa.

Rentetan daripada itu, Philip disamakan dengan banyak watak penjenayah realiti lain. Diberi jolokan ‘Josef Fritzl versi AS’, ada juga pendapat menyatakan bahawa corak pemikiran Garrido lebih menyamai pembunuh kejam tahun 1960-an, Charles Milles Manson.

Abangnya, Ron Garrido menyifatkan Philip berjaya ‘memprogramkan’ persetujuan dengan isterinya, Nancy untuk bersubahat membiarkan jenayah berat itu dilakukannya.

“Dia (Nancy) telah dipukau seperti robot. Ia sangat dahsyat dan gila. Saya memberitahu isteri, tindakan Philip tidak jauh bezanya dengan kes Manson,” kata Ron, 65, seorang juru elektrik yang sudah bersara.

Menggunakan agama dan nama Tuhan sebagai pasport untuk mendapatkan apa yang diingininya menjadi persamaan utama antara Philip dan Manson.

Philip percaya bahawa Tuhan telah membebaskannya daripada semua perbuatan ganasnya dahulu. Perubahan besar dalam hidupnya itulah yang dikatakan amat berguna untuknya ‘membantu menyelamatkan dunia.’

Lantas tidak hairanlah, dalam kalangan jiran tetangga, gelaran Creepy Phil (Phil yang seram) sudah cukup sinonim dengan perilakunya yang pelik. Suka merepek tidak tentu hala, penulis blog Voices Revealed itu turut mendakwa dirinya dikurniakan kebolehan bercakap dalam bahasa malaikat.

Walaupun begitu, obses Philip terhadap hal-hal keagamaan dikatakan baru bermula. Mendakwa Tuhan bercakap dengannya melalui sebuah kotak, dia juga percaya dirinya dipilih khas oleh Tuhan untuk berkomunikasi dengan manusia sejagat.

Dengan memilih nama pengguna (username) ‘themanwhospokewithhismind’, blog Philip dipenuhi dengan himpunan kandungan yang mengganggu. Ia seharusnya menjadi petanda awal bahawa pemilik kedai percetakan itu sememangnya menepati kriteria seorang psiko.

Testimoni daripada bekas isteri pertamanya, Christine Murphy sudah cukup untuk mengiyakan kenyataan itu. Dalam satu temu bual dengan Inside Edition, Christine mendedahkan bagaimana dia dipukul dan diculik ketika cuba melarikan diri daripada Philip.

Seperti Philip, Manson juga tidak pernah gagal memperalatkan nama Tuhan. Percaya dirinya adalah jelmaan semula kelahiran baru Nabi Isa zaman moden, dia berjaya meyakinkan sejumlah pengikut setia untuk terlibat dalam kegiatannya. Justeru itu, pada tahun 1969, bermulalah episod pertama pembunuhan beramai-ramai oleh pengikut Manson yang telah dimanipulasikan.

Kecenderungan kedua-dua figura berbahaya itu berhalusinasi juga dipercayai berpunca daripada pergantungan mereka pada penggunaan dadah jenis lysergic acid diethylamide (LSD). Pergantungan jangka panjang terhadap LSD mampu mengubah aspek psikologi seseorang khasnya dari segi melihat, mendengar dan merasai sesuatu perkara.

Malah, Ron sendiri turut memberitahu pihak media bahawa adiknya banyak bergantung pada LSD sewaktu muda. Dadah itu juga dipercayai ‘telah mengubah seorang budak yang baik kepada seorang lelaki gila.’

Buktinya, dalam satu perbicaraan penculikan pada tahun 1977, Philip tanpa berselindung mengakui LSD dan kokain bertindak sebagai agen perangsang seksual untuk dirinya.

“Saya kerap melakukan onani sambil berfantasi membayangkan anak-anak gadis yang pernah saya lihat. Biasanya, saya melakukan perbuatan itu di tempat-tempat awam seperti di tepi sekolah atau di dalam kereta,” akuinya dalam perbicaraan tersebut.

Keputusan perbicaraan mendapati Philip bersalah bagi kedua-dua tuduhan serangan seks dan menculik seorang pekerja kasino yang berusia 25 tahun dari sebuah parkir di South Lake Tahoe, AS pada tahun 1976. Akibatnya, dia dikenakan hukuman penjara seumur hidup bagi tuduhan pertama dan 50 tahun lagi untuk kesalahan menculik.

Tidak cukup dengan itu, Philip yakin perbuatan menghamilkan mangsa kecil yang diculik dapat mengubati nafsu fidofilianya. Fidofilia merujuk kepada kecenderungan hubungan seksual dengan kanak-kanak.

Diculik dari sebuah perhentian bas pada usia 11 tahun, Jaycee menjadi hamba seks Philip selama 18 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, gadis berambut perang dan bermata biru itu disorok di dalam sebuah khemah tanpa pengetahuan jiran tetangga. Ironinya, khemah itu berada di kawasan belakang rumah lelaki yang sudah mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Bersama Jaycee, mereka memiliki dua orang anak perempuan, Starlite dan Angel Garrido.

Tidak sedikit pun berasa kesal, Philip tanpa segan silu, mempertahankan perbuatan seksnya itu. Seperti Fritzl yang telah mengurung dan membuntingkan anak kandungnya sendiri, Elisabeth, alasan mereka cukup mudah iaitu demi kebaikan anak.

Lebih menjijikkan, sepanjang meringkuk di dalam penjara sejak tahun 1977, fantasi seksual bersama Jaycee tidak pernah terpadam dari ruang ingatannya. Meminati muzik dan suka menggubah lirik lagu, Philip menggunakan kemahiran tersebut untuk meluahkan nafsunya.

Seorang rakan sepenjara memberitahu, lelaki tersebut menghabiskan berjam-jam menulis lagu bertemakan seks yang ditujukan kepada ’seorang gadis bermata biru.’ Tambah rakan itu lagi, berita penemuan Jaycee kini mendedahkan siapa sebenarnya ‘gadis bermata biru’ yang dimaksudkan Philip.

“Merogol dan menghamilkan anak dara berusia 14 tahun telah ‘mengubah masa depan saya.’ Hakikatnya, ada satu kisah yang menyentuh hati dan hebat di sebalik tindakan saya ini,” katanya dalam satu temu bual melalui telefon dari sel penjaranya di California baru-baru ini.

Berlangsung selama 10 minit, temu bual antara stesen televisyen (TV)-KCRA itu turut menarik perhatian pakar psikologi, Dr. David Holmes.

Holmes berpendapat Philip dilengkapi dengan banyak pengetahuan forensik. Seorang yang suka putar-belit ketika menjawab soalan temu bual, lelaki itu juga berhasrat mencorak pemikiran orang lain mengikut kehendaknya.

“Kebanyakan individu yang ada masalah personaliti akan mempertahankan diri sedemikian rupa. Mereka tidak membenarkan pendapat orang lain mempengaruhi pemikirannya.

“Dalam kes ini, Philip menggunakan agama sebagai alasan mengapa dia harus kebal daripada segala hukuman kerana Tuhan telah memaafkannya,” jelas Holmes.

Seorang pesara detektif, Dan DeMaranville, 74, yang pernah menyoal siasat Philip dalam kes serangan pada masa lampau pula berkata: “Mengapa dia dibebaskan? Dia memang ’sakit’. Sepatutnya, dia dikasi sebelum dibebaskan untuk program parol.” -Kosmo

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...