Home
>
Politik
> Manek Urai: Majlis berbuka untuk perantau bersama Abe Uji
Share
MANEK URAI - Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau MTD Manek Urai akan menganjurkan majlis berbuka puasa dua hari berturut-turut untuk perantau yang pulang berhari raya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, majlis berbuka untuk perantau yang menggunakan Jalan Kuala Krai-Gua Musang itu akan diadakan di Masjid Mukim Peria dekat sini, pada 18 dan 19 September ini.
Menurutnya, majlis pada tarikh bersamaan dengan 28 dan 29 Ramadan itu diharap dapat memberi kemudahan berbuka kepada perantau yang kebiasaannya ramai memilih dua hari itu untuk pulang dan berhari raya di kampung.
“Aidilfitri akan disambut sama ada Ahad atau Isnin (20 atau 21 September), jadi kita adakan majlis berbuka pada Jumaat dan Sabtu kerana selalunya dua hari nak raya ini ramai orang balik kampung,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Mohd Fauzi berkata, majlis berbuka untuk perantau itu bukan kali pertama kerana program berkenaan diadakan setiap kali Ramadan ketika dia memegang jawatan Pengerusi MTD Guchil sebelum ini.
“Sebelum ini, majlis (berbuka) untuk perantau saya buat di Masjid Jauhar, dekat Guchil tapi tahun ini, (majlis berbuka) kita pindah ke Manek Urai,” katanya yang baru menjadi ADUN Manek Urai selepas menang pada pilihan raya kecil DUN itu, 14 Julai lalu .
Bagaimanapun beliau berkata, majlis berbuka bagi warga perantau di Masjid Jauhar atau lebih dikenali dengan nama Masjid Caltex itu pada Ramadan ini mungkin akan tetap diteruskan oleh orang lain pula.
Difahamkan, majlis itu kemungkinan akan diteruskan oleh Pengerusi MTD Guchil, Zulkifli Ya’cob yang baru dilantik kerajaan negeri untuk memegang jawatan itu bagi menggantikan Mohd Fauzi.
Dalam perkembangan lain, Mohd Fauzi yang menjelaskan satu kekeliruan berkata, jumlah manfaat skim perlindungan insurans Takaful Kifalah kini sebanyak RM1,500 dan bukannya RM2,500 seperti sebelum ini.
Katanya, bayaran pendahuluan RM500 dibayar pada hari kematian peserta manakala selebihnya sebanyak RM1,000 lagi akan dibayar sebaik sahaja semua proses berkaitan dokumen kematian dan tuntutan bayaran baki siap.-sinar harian
0 ulasan:
Catat Ulasan