Kerugian RM200 juta kerana GMI..?
Oh! Krai Utara
Jumlah itulah yang terpaksa ditanggung oleh para peniaga termasuk kerosakan harta benda ekoran perhimpunan GMI itu. Beliau menambah bahawa, penilaian jumlah kerosakan dan kerugian itu akan disemak semula untuk mengetahui jumlah sebenarnya
“Kita akan cuba dapatkan segala taksiran mengenai kerugian yang dialami serta kerosakan dan ia mestilah berjuta-juta, sekurang-kurangnya, anggaran saya dalam RM100 juta ke RM200 juta,” katanya dalam suatu kenyataan terbarunya di Bernama.
Tambah beliau lagi, anggaran kerugian itu turut mengambil kira bahawa kejadian terbaru itu merupakan hari cuti hujung minggu, yang membolehkan penduduk bandar raya ini keluar membelibelah sempena jualan mega sebagai persiapan menyambut Hari Raya Puasa yang akan disambut pada September ini.
Analisis biarlah tepat
Ada beberapa perkara yang mungkin dikaji berdasarkan kenyataan menteri berkenaan. Setelah beberapa kali berdemonstrasi, maka baru kali ini heboh angka sehingga disebut oleh menteri, “.. dan ia mestilah berjuta-juta, sekurang-kurangnya, anggaran saya dalam RM100 juta ke RM200 juta.”
Bagaimana kalau bukan sampai mencecah ke angka itu jumlah kerugiannya? Seperkara lagi, ‘dendam’ menteri kepada demonstran itu begitu melebar sehingga seolah-olah memaksa menteri berkenaan membuat kenyataan ‘mesti’ dalam lingkungan RM200 juta.
Tidak cukup dengan kenyataan itu, menteri berkenaan turut mengaitkan jumlah kerugian itu dengan mengambil kira kerugian para penduduk ibu kota yang keluar membelibelah bersempena persiapan menyambut Hari Raya Puasa yang akan datang.
Jangan-jangan, selepas disemak jumlah taksiran kerugian sebenar tidak mencapai RM200 juta, ada kemungkinan orang-ramai pun akan dipanggil untuk disiasat berhubung berapakah jumlah ela kain yang dibeli untuk dijahit pakaian hari raya.
Bahan-bahan minyak masak, tepung gandum untuk membuat kek pun mungkin dinilai sama untuk mengangkat nilai kerugian itu agar setanding dengan angka kerugian dalam bacaan menteri tadi; RM200 juta!
Nilai angka yang besar ini memberi kesan gambaran dan momokan hitam kepada rakyat, bahawa betapa teruknya jika berdemonstrasi begini. Inilah modal untuk mereka bercakap kepada rakyat, “Lihatlah.. kita rugi dah ratusan juta gara-gara demonstrasi!”
Seseorang perlu dipersalahkan. Dan, dalam hal ini, watak yang perlu dipertanggungjawabkan ialah pembangkang.
Pada sebelah malam 1 Ogos itu, media yang dimiliki kerajaan memutarkan percakapan dan pandangan orang-ramai, khasnya peniaga yang mengeluh mengenai betapa susahnya mereka mahu membela kehidupan sendiri dan mencari sesuap nasi gara-gara premis perniagaan mereka telah dirempuh demonstran.
Jika benar-benar mahu dicari kesalahan siapa dalam hal ini, maka ada beberapa watak utama yang perlu dipertanggungjawab dalam kes kerugian terbaru di ibu kota ini. Pertamanya, pembangkang dan GMI. Kedua, polis dan ketiganya Umno, BN.
Pihak pembangkang, GMI yang mewakili orang awam adalah golongan masyarakat sivil yang tidak bersalah. Mereka ini, sebagai mana yang telah diputuskan perlembagaan, mereka berhak berhimpun.
Sebenarnya, kita tidak perlu lagi khuatir bahawa perhimpunan itu boleh menjadi kacau=bilau dan huru-hara. Sebagai orang awam yang tidak memiliki apa-apa senjata seperti molotov, C4 dan sebagainya, perhimpunan itu sudah tentu aman.
Perhimpunan rakyat awam yang aman itu akan bertukar menjadi ganas apabila munculnya polis, tentera dan FRU yang mengganggu perhimpunan itu. Kalau bukan kerana gangguan polis, nescaya tiadalah kejadian yang tidak diingini itu berlaku.
Kesimpulannya, jumlah kerugian yang ditaksirkan kononnya mencecah sehingga RM200 juta itu sebenarnya muncul gara-gara polis , FRU setelah diarahkan Umno dan Barisan Nasional!
Perlembagaan membenarkan perhimpunan aman
Perlembagaan Persekutuan membenarkan perhimpunan. Adalah satu keganjilan apabila kita mahu menokok tambah kalimat ‘aman’ pada perhimpunan tersebut.
Cukup dengan kenyataan perhimpunan sahaja. Mereka pergi ke Istana Negara bukan untuk menyeru raja turun takhta. Bukan meminta kerajaan yang ada meletakkan jawatan.
Sebenarnya, orang awam tidak perlu diwajibkan meminta permit polis. Kalau pun mereka meminta permit polis, hal itu hanyalah perkara harus dan sunat sahaja. Tidak jatuh hukum wajib meminta permit daripada pihak polis.
Semaklah perlembagaan; rakyat kita dibenarkan berhimpun. Maka, jika ada pihak yang menghalang perhimpunan itu melalui sesuatu yang diada-adakan seperti permit, maka pihak itulah yang bersalah.
Dalam kes ini, permit itu dikeluarkan oleh pihak polis. Jadi, pihak polislah yang wajar dipersalahkan apabila mereka tidak mengeluarkan permit untuk membenarkan masyarakat awam berhimpun.
Perlembagaan membenarkan masyarakat awam berhimpun kerana mereka bukanlah pihak yang akan mencetuskan huru-hara dengan wujud alat kelengkapan bersenjata seperti mana halnya masyarakat tentera dan polis.
Yang ada stok senjata, molotov *****tail, bom pemedih mata, ‘water Canon’ dan C4 ini adalah masyarakat tentera dan polis saja dan bukannya orang awam biasa. Maka, di sini pihak polis FRU itulah yang perlu dipersalahkan kerana telah mengundang bahaya kepada para peniaga dan orang-ramai.
BN yang salahgunakan FRU perlu bertanggungjawab
Apabila masyarakat tentera, polis membuat perhimpunan dengan alat kelengkapan bersenjata, maka ada kemungkinan besar sebuah rampasan kuasa berlaku. Tetapi, hal itu sukar dilaksanakan oleh masyarakat awam yang tiada apa-apa senjata di negara kita.
Maka jelas kepada kita bahawa masyarakat awam, GMI, aktivis parti pembangkang tidak wajar dipersalahkan. Yang salah dalam hal ini adalah polis dan FRU yang memiliki senjata, lalu dengan senjata itu, mereka menyembur ‘water canon’ sehingga menyebabkan premis perniagaan para peniagaan terpaksa ditutup.
Tapi, bukanlah polis semata-mata yang perlu dipersalahkan. Siapakah orang yang bertanggungjawab memberi arahan sehingga wujud huru-hara secara tidak langsung itu kalau bukan BN?
Pihak kerajaan tentunya berterusan menyalahkan seteru politiknya; memperalat media untuk memberi gambaran hitam kepada rakyat agar terus membenci Pakatan Rakyat dalam hal ini.
Maka tidak hairanlah, mutakhir ini sentimen masyarakat awam turut diheret, perasaan mereka diseret lalu dipermainkan BN untuk membenci perhimpunan anjuran GMI tersebut.
Oleh Arifin Mahmud
0 ulasan:
Catat Ulasan