BN sengaja pecah belahkan Pas: Mahfuz
Oh! Krai Utara
SHAH ALAM - Pas mendakwa pemimpin Barisan Nasional (BN) memutarbelitkan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat susulan kesediaan Menteri Besar Kelantan itu untuk melupakan sengketa dengan Kerajaan Pusat.
Naib Presidennya, Mahfuz Omar berkata, beliau tidak nampak kewajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerjasama politik antara Pas dan BN akan berlaku dalam masa terdekat.
Menurutnya, pendapat yang dikeluarkan pemimpin BN berhubung dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak lebih daripada mahu melihat Pas dan rakan Pakatan Rakyat (PR) berpecah dengan isu yang dibangkitkan parti itu.
“Saya percaya isu ini diputarbelitkan, apa yang Tok Guru maksudkan, ialah isu Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri, bukan hubungan UMNO-Pas, selama ini Kerajaan Pusat meminggirkan Kerajaan Negeri melalui pelbagai cara dan kaedah,” katanya.
Beliau berkata, kalau hendak diadakan pertemuan sekalipun, hanya akan berlaku antara Exco Kerajaan Negeri dan menteri yang berkenaan, Yang dia (Muhyiddin) hendak bawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO apa perlunya?” katanya.
Beliau berkata ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin yang menyambut baik kenyataan Nik Aziz yang mahukan Kerajaan Negeri dan Pusat itu melupakan sengketa lama, sekali gus membuka pinta kerjasama kedua-dua parti itu.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, BN kini berada dalam keadaan sangat terdesak sehingga sanggup membuat kenyataan segera berikutan isu yang dijelaskan Menteri Besar Kelantan itu.
“Apa perlunya BN mengungkit kembali soal kerjasama parti seperti penubuhan kerajaan perpaduan, isu ini sudah lama ditutup, mereka ini dalam keadaan sangat terdesak dan memerlukan sokongan, saya boleh anggap BN dan UMNO ini sudah ‘gila talak’.
“Yang pasti apa yang digembar-gemburkan pimpinan BN berhubung dengan isu ini adalah tidak lebih untuk mengalih perhatian kes kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang masih dalam siasatan polis,” katanya. - Sinar Harian
0 ulasan:
Catat Ulasan