TEMUAN BERSEJARAH MM LEE DAN NIK AZIZ : MEDIA SINGAPURA

Oh! Krai Utara

Share Oleh Hisham Hambari Dari Kota Bharu, Kelantan: MENTERI Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam dengan kedua-dua pemimpin itu antara lain membincangkan usaha meningkatkan hubungan Singapura dengan Kelantan. Pertemuan selama sejam di pejabat Mursyidul Am PAS di Kota Darul Naim itu disifatkan sebagai bersejarah kerana inilah kali pertama mereka bertemu sejak Datuk Nik Aziz menerajui Kelantan 19 tahun lalu. Setiausaha Akhbar Encik Lee, Cik Yeong Yoon Ying, berkata dalam pertemuan itu Encik Lee turut berkongsi pengalaman Singapura dalam melaksanakan dasar bahasa Inggeris dan pentingnya bahasa tersebut dalam ehwal global. Datuk Aziz pula berkata Singapura boleh menjadi contoh baik dalam dasar antirasuah dan dalam soal kebersihan bandar. 'Saya ucapkan terima kasih kepada Encik Lee Kuan Yew atas kesudian beliau datang ke mari,' katanya, yang turut menambah Encik Lee mengunjungi Kelantan untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan negeri itu. Pertemuan mereka diadakan dalam bahasa Melayu. Encik Lee, yang sedang dalam rangka lawatan lapan hari ke Malaysia sejak Isnin lalu, tiba di sini malam kelmarin. Antara yang mengiringi beliau ialah Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam; Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen; Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pendidikan), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Datuk Aziz berkata beliau dijemput Encik Lee melawat Singapura. Meskipun melahirkan keinginan untuk berkunjung ke Singapura, tetapi atas sebab-sebab kesihatan beliau mungkin tidak dapat memenuhi pelawaan itu. Selepas pertemuan tersebut, rombongan Singapura diundang menghadiri majlis jamuan tengah hari yang menyajikan masakan tempatan Kelantan seperti nasi kerabu dan ayam percik. Datuk Nik Aziz berkata kehadiran dan kesudian rombongan Singapura melawat Kelantan sekurang-kurangnya dapat menggerakkan lagi hubungan dua hala. 'Selain terkenal sebagai negara maju, saya difahamkan Singapura turut terkenal dari segi amalan antirasuah dan menjadi juara demokrasi. 'Di samping itu, Singapura juga tegas dalam soal kebersihan bandar, dan aspek-aspek ini adalah perkara-perkara mulia yang boleh dicontohi,' ujarnya. Encik Tharman berkata rombongannya gembira berada di Kelantan dan kagum dengan perkembangan dan pembangunannya, serta berharap hubungan baik kedua-dua pihak dapat diperkukuh 'Kelantan secara tradisi bukanlah pusat utama bagi hubungan dengan Singapura. Kami mempunyai hubungan kukuh dengan Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang, terutama daerah barat semenanjung,' katanya. Namun, minat terhadap Kelantan di kalangan penduduk Singapura, baik dari sektor niaga mahupun warga Singapura yang gemar bercuti di Kelantan semakin meningkat, kata beliau. 'Saya sendiri bersama Encik Masagos berpeluang mengun- jungi pasar di Kota Bharu dan temui ramai rakyat Singapura yang sedang berbelanja. Jadi, saya rasa hubungan kita akan semakin kukuh melalui hubungan masyarakat dan juga antara pegawai kerajaan dan pemerintah. 'Walau apa pun terjadi di Malaysia secara politik, kita ingin kekalkan hubungan baik antara Singapura dan kesemua parti di Malaysia,' kata Encik Tharman, yang kali terakhir mengunjungi Kelantan ketika berusia 21 tahun. - http://cyberita.asia1.com.sg/

0 ulasan:

Catat Ulasan

Artikel Paling Ngetop

Latest Malaysian Blog Headlines

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...