Tamar Jalis penulis novel misteri meninggal dunia
Oh! Krai Utara
NOVEL mistik, Bercakap Dengan Jin amat popular di negara ini pada tahun 1980-an. Namun, pengarangnya, Tamar Jalis, masih misteri.
Ada yang mengatakan penulis sebenar sudah berusia lebih 70 tahun dan tinggal di Bruas, Perak tetapi beliau enggan dikenali.
Seorang lagi yang dikaitkan dengan nama Tamar Jalis ialah A. Jalil Miran yang pernah menulis untuk majalah Variasari dan Variapop.
Jalil meninggal dunia pada Oktober tahun lalu kerana sakit jantung pada usia 57 tahun.
Beliau yang juga bekas wartawan tabloid Buletin Rakyat dan Buletin Utama, dikenali dengan cerita seram dan hantu selain sensasi hiburan yang dihasilkannya.
Hotel berhantu
Menurut isteri arwah, Faridah Lah Omar, 46, Jalil bukan sahaja gemar menulis kisah-kisah hantu, malah beliau mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan makhluk alam ghaib itu. Jalil turut memiliki sisi eksentriknya sendiri, kata Faridah.
Pernah arwah mengajak Faridah tidur di sebuah hotel lama di Kuala Lumpur.
“Kami jadi seronok dapat tidur di hotel dengan anak-anak. Sebaik sahaja tengah malam, dia keluar sekejap. Apabila balik, dia tanya apa yang saya rasa semasa tidur.
“Saya kata seram sejuk dan ada terdengar suara seperti orang menjerit.
“Rupa-rupanya bilik hotel itu merupakan tempat orang mati dibunuh. Terus saya tidak menerima ajakan arwah untuk tidur di hotel lagi selepas itu,” katanya ketawa.
Faridah yang berasal dari Jeniang, Kedah, berkahwin dengan Jalil selama 21 tahun dan dikurniakan dua orang anak.
Faridah menceritakan, beliau mengenali Jalil semasa membuka kedai makan bersebelahan dengan pejabat syarikat penerbit Variasari iaitu Variapop Group di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
“Pada mulanya saya tidak berminat untuk mengenalinya walaupun arwah selalu mengurat saya dengan datang makan berkali-kali dalam sehari di kedai makan saya. Dia juga selalu mengutus surat cinta.
“Ambil masa setahun juga sebelum saya dapat menerimanya. Itu pun disebabkan kelembutan dan sifat sopan santun arwah,” ujar Faridah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Beliau menyifatkan Jalil seorang yang pendiam dan tidak suka diganggu semasa bekerja sepanjang perkahwinan mereka sejak tahun 1987.
0 ulasan:
Catat Ulasan