Malaysian Maverick:Mahathir Populat Di Singapura
Oh! Krai Utara
Malaysian Maverick: “Buku dalam tahanan” laris di Singapura
Buku tulisan Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times yang kini masih dalam “tahanan” Kementerian Dalam Negeri, muncul sebagai buku laris di Singapura, menyebabkan pengedarnya terpaksa menempah seribu naskah tambahan dari luar negara.
Selain dakwaan bahawa puluhan bilion ringgit Malaysia “terjatuh” ke dalam lubang hitam semasa zaman pemerintahan Mahathir Mohamad, buku ini menyarat beberapa cerita yang tidak diketahui umum, termasuklah bagaimana bekas Perdana Menteri ini pernah dipujuk oleh Allahyarham Putera Negeri Sembilan untuk minum arak dan menari.
Setelah menghubungi kedai buku berangkai di Singapura pada hari ini,MerdekaReview mendapati bahawa buku ini telah habis stoknya di kedai-kedai buku berangkai yang utama, melainkan Kinokuniya yang terletak di Takashimaya.
Kedai buku Prologue yang terletak di pusat beli belah ION, Orchard Roadmemberitahu wartawan MerdekaReview melalui telefon, bahawa buku berjudulMalaysian Maverick yang dibeli oleh kedainya telah habis dijual dalam tempoh dua minggu. Mereka telah membuat tempahan kedua, yang belum sampai stoknya. Mereka mempercayai bahawa penerbit buku kini sedang menambah cetakannya.
Kedai buku berangkai seperti MPH, Borders pula telah habis stoknya. Satu-satunya kedai buku berangkai di Singapura yang masih ada stok sekarang adalah Kinokuniya. Bagaimanapun, kedai ini enggan memaklumkan jumlah jualanMalaysian Maverick atas alasan “maklumat sulit komersial”.
Pengedar: Menambah tempahan 1,000 naskah
Menurut statistik daripada pengedar buku, Palgrave Macmillan, sejumlah 1,700 naskah buku berjudul Malaysian Maverick diedarkan di Singapura. Menurut respon daripada kedai buku di “akar umbi”, stok buku ini telah habis dijual, maka mereka mengambil keputusan untuk menambah tempahan sebanyak 1,000 naskah. Namun demikian, disebabkan stok ini dihantar dengan pengangkutan laut, maka ia perlu menunggu sehingga Februari untuk diedarkan ke pasaran.
Pada hakikatnya, sejumlah 800 naskahMalaysian Maverick telah tiba di kastam Malaysia pada awal Disember 2009. Namun, buku baru ini “ditahan” kesemuanya oleh kastam atas alasan untuk diperiksa KDN. Buku ini masih dalam “tahanan” di pejabat Pelabuhan Klang, dan gagal masuk ke pasaran buku Malaysia.
Barry Wain adalah editor The Wall Street Journal, kini sebagai pengkaji di Institute of Southeast Asian Studies. Dalam buku setebal 363 muka surat ini, Barry Wain telah mengulas pentadbiran PM keempat, Mahathir Mohamad selama 22 tahun.
Selain itu, Barry Wain juga mengulas pengalaman Mahathir dalam pengajian, dan pengalamannya ketika berkecimpung dalam politik dalam bab kedua. Selain daripada maklumat yang dikumpulnya, Barry Wain juga menemuramah sahabat Mahathir, termasuk Allahyarham Tunku Abdullah Tunku Abdul Rahman.
Walau bagaimanapun, Mahathir pernah menafikan apa yang ditulis oleh Barry Wain, setelah isu ini menjadi kontroversi. Malah, Mahathir mencabar KDN untuk memberi laluan agar buku ini diedarkan di pasaran, supaya beliau boleh menyaman penulisnya, dan beberapa orang lain yang “memfitnah” beliau, lantas membersihkan nama untuk dirinya.【Baca blog Mahathir: MALAYSIAN MAVERICK】
Mahathir dipujuk minum arak?
Mahathir muncul sebagai ahli parlimen buat kali pertama pada tahun 1964. Beliau tinggal di rumah Tunku Abdullah semasa parlimen bersidang. Bekas putera Negeri Sembilan ini membawa Mahathir untuk berlegar di Royal Selangor Club, “memujuknya untuk menari dan mimum arak” (persuading him to dance and have a glass of white wine).
Barry Wain memetik Tunku Abdullah untuk berkata, “I brought him down to my level,…otherwise it would have been boring.” (Saya menurunkannya ke tahap seperti saya, kalau tidak bosanlah.)
Sememangnya, apa yang menarik adalah skandal yang berlaku ketika zaman pemerintahan Mahathir (gambar kanan). Di bawah pena Barry Wain, Mahathir jelas “cakap tak serupa bikin”. Beliau melaungkan slogan “bersih, cekap dan amanah”, tetapi pentadbirannya bercanggah dengan apa yang dilaungkannya.
Pada tahun 1980-an, semasa kejatuhan harga timah di dunia, Mahathir memberi lampu hijau kepada syarikat “dua ringgit” Maminco Sdn Bhd untuk masuk ke pasaran, supaya melambungkan harga timah. Ia berakhir dengan kegagalan. Ketika ditemuramah oleh Barry Wain pada 31 Mac 2008, Mahathir mengakui bahawa “saya tidak masak dengannya ketika itu, saya tidak faham.”
Malah, skandal Bank Bumiputera lebih membeliakkan mata. Untuk bail outsyarikat yang menjadi lambang perusahaan bumiputera ini, kerajaan telah menyuntik wang secara langsung dan tidak langsung, sebagai cubaan untuk membantunya melalui Petronas, tetapi akhirnya gagal.
Menurut Malaysian Maverick, Bank Bumiputera ini telah menjadi mesin ATM peribadi. Pada tahun 1983, UMNO telah meminjam RM200 juta daripada Bank Bumiputera, untuk membina ibu pejabatnya di PWTC. Namun, UMNO tidak mampu untuk menjelaskan hutang ini. Sehingga Julai 1988, UMNO telah berhutang dengan Bank Bumiputera sebanyak RM300 juta, termasuk faedahnya. Malah pada tahun 1989, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Bank Bumiputera berhak untuk mengambil alih PWTC yang dicagarkan.
Bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin ketika ditemuramah Barry Wain berkata, UMNO akhirnya mencapai muafakat dengan Bank Bumiputera untuk membayar pampasan RM126 juta.
Bab keenam yang bertajuk, “Skandal, Skandal apa?”, menyatakan bahawa tiga juta ringgit hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhannya. Menurut Malaysian Maverick, skandal seterusnya membawa jumlah kepada puluhan bilion ringgit, dan mendakwa bahawa negara mungkin rebah kalau bukan disokong cukai dari Petronas.
*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
0 ulasan:
Catat Ulasan