Share
PakarHowTo
Tips ni memang saya amalkan dan sangat berkesan bagi diri saya (Bagi orang lain, saya tak tahu berkesan ke tak).
Apa yang saya amalkan bagi memudahkan saya untuk pergi solat tarawih ialah ;
* 1. Kurangkan makan masa berbuka.
Tahun ini, saya dah tekad, masa berbuka, saya hanya akan makan kurma dan kuih-muih saja. Saya hanya akan minum paling banyak 2 gelas air saja. Nasi memang tidak akan saya sentuh.
Saya dapat tips ini daripada abang nombor 6 saya, Dato’ Haji Ahmad Faizul. Abang saya pesan, tips paling mujarab bagi mengurangkan rasa malas untuk solat tarawih ialah, JANGAN MAKAN BERLEBIHAN masa berbuka. Kalau boleh, makan hanya beberapa biji kurma dan segelas air. InsyaAllah, kalau kita dapat kontrol makan masa berbuka, pasti badan kita terasa ‘ringan’ jer untuk solat tarawih dan melakukan ibadah-ibadah lain.
Sejak saya amalkan tips ini, alhamdulillah saya tidak lagi rasa ‘berat’ atau malas untuk pergi solat tarawih. Dan insyaAllah, kalau orang hanya buat 8 rakaat, tapi kita boleh buat 20 rakaat solat tarawih dengan mudah jer. Bukan solat tarawih jer jadi mudah, tetapi kita juga akan lebih mudah untuk buat ibadah2 lain seperti baca quran dan solat2 sunat yang lain.
Pernah juga masa saya balik berbuka puasa di kampung saya di Jerantut. Saya tak dapat kontrol makan saya (sebab semua makanan dan lauk-pauk yang mak saya masak sangat menyelerakan), maka saya termakan juga sepinggan nasi, dan minum beberapa gelas air kelapa. Nak tau apa jadi malam tu? Saya jadi terrramat malas dan terasa ‘berat’ benar untuk solat tarawih. Nak solat maghrib dan isyak pun terasa begitu malas. Usahkan tarawih.
So, malam tu, jujur saya katakan, saya telah ‘terponteng’ solat tarawih. Aduhh…ini semua penangan makan secara berlebihan semasa berbuka. Habis semua jadi malas untuk beribadah.
Pelbagai Juadah Berbuka Puasa
Pelbagai Juadah Berbuka Puasa
* 2. Mandi sebelum pergi masjid.
Sesungguhnya mandi memang dapat menyegarkan badan. Setiap kali lepas berbuka, telah menjadi amalan saya untuk mandi. Sebab kalau saya mandi, terasa badan begitu segar dan bersemangat untuk pergi ke masjid. Sebaliknya kalau saya tak mandi, badan jadi tak selesa dan melekit. Dan disebabkan tak mandi, mata jadi kuyu, terasa sangat mengantuk semasa solat.
Jadi, untuk mengelakkan anda mengantuk semasa melakukan ibadah di masjid, pastikan anda mandi dulu sebelum pergi masjid.
Walaupun tips ini boleh dianggap sebagai ‘common sense’ dan semua orang tahu, tapi saya kenal ramai kawan-kawan saya yang malas nak mandi. Ada kawan-kawan saya yang hanya ambil air sembahyang dan terus pi masjid untuk bersolat (tanpa mandi terlebih dahulu). Saya lihat mereka-mereka yang liat untuk mandi ni, memang mata mereka kuyu, nampak letih tak bermaya dan tak bersemangat.
Jadi, untuk elakkan anda jadi malas dan terasa mengantuk semasa menunaikan solat tarawih, pastikan anda mandi terlebih dahulu sebelum pergi ke masjid.
* 3. Pakai minyak wangi @ minyak atar @ bau-bauan yang harum
Lagi 1 tips mudah yang saya amalkan untuk memberikan semangat dan kesegaran dalam melakukan ibadah solat tarawih ialah, memakai minyak wangi @ minyak atar.
Telah menjadi kewajipan bagi diri saya, sebelum pergi masjid, pasti saya akan ’selet’ minyak atar pada tengkuk dan baju melayu saya. Minyak atar yang paling saya suka dan selalu pakai ialah minyak atar Kasturi (daripada bunjut kijang).
Minyak atas kasturi ni umpama ‘magic oil’ bagi saya. Sebab hanya dengan sekali ’selet’ @ sapu saja, sudah cukup memberikan saya ‘feel’ @ semangat untuk saya beribadah.
Minyak Atar Kasturi Kijang
Minyak Atar Kasturi Kijang
Menurut info yang saya dapat daripada penjual minyak kasturi, ada terdapat banyak sekali khasiat Kasturi ini jika kita memakainya.
Menurut 1 artikel yang pernah saya baca, berdasarkan kajian yang dibuat oleh ilmuwan Islam terutamanya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah R.A. dan ahli-ahli perubatan Islam, kasturi memang didapati mempunyai banyak khasiat, antaranya:-
1. Memberi kekuatan pada roh. Haruman adalah santapan roh, manakala kasturi adalah merupakan sewangi-wangi dan sebaik-baik haruman sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sebaik-baik wangian adalah minyak kasturi” (Hadis Riwayat Muslim).
2. Mendapat ketenangan Jiwa
3. Mencerdaskan akal dan menyihatkan otak
4. Menghilangkan ketakutan dan kebimbangan
5. Menghilangkan debaran jantung
6. Menghilangkan Sesak Nafas
7. Melegakan Lelah (Asma)
8. Menyedarkan orang yang pengsan
9. Memperkuatkan organ luaran tubuh
10. Memperkuatkan organ dalaman tubuh
11. Menghilangkan rasa gementar
12. Menghilangkan sejuk tubuh
13. Membuang angin yang berlebihan dalam tubuh
14. Menawarkan racun atau bisa-bisa binatang
15. Menghilangkan kesakitan sewaktu kencing
16. Menjernihkan mata putih pada mata
17. Berfungsi memelihara kesihatan secara keseluruhan
18. Mencegah wabak penyakit
19. Melanjutkan usia
20. Meredhakan Allah SWT, menyukakan para malaikat dan orang-orang soleh, dan sebaliknya dapat mengusirkan syaitan laknatullah dan kuncu-kuncunya.
Menurut Imam Syafie R.A. bahawa antara perkara yang dapat menguatkan badan jasmani ialah dengan mencium bau-bauan yang harum (seperti kasturi).
Jadi, tidak dapat dinafikan lagi, tips ketiga ini iaitu memakai minyak wangi @ minyak atar khususnya minyak kasturi ini, memang dapat membantu kita memudahkan diri untuk menunaikan ibadah di malam hari sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.
Maka, akhirnya, saya ingin menyerulah kepada semua pembaca blog pakar untuk kita sama-sama dapat amalkan 3 tips penting supaya mudah untuk kita menjalankan ibadah solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadhan yang hanya tinggal 2/3 saja lagi ini.
Semoga saya dan tuan-tuan semua dapat menggunakan kesempatan baki Ramadhan yang ada ini untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin. Marilah kita rebut peluang bonus keemasan yang Allah kurniakan kepada kita ini, sementara hayat dikandung badan.
Ayuh, jangan malas-malas. Kita lawan nafsu kita. Kita lipat gandakan amalan. Semoga Allah terima segala ibadah kita kepada Nya. Amin.
0 ulasan:
Catat Ulasan